KUALA LUMPUR, 12 Jun — Bagi peminat yang pernah terbuai dengan fenomena Meteor Garden dan lagu tema Meteor Rain pada awal 2000-an, berita yang ditunggu-tunggu akhirnya menjadi kenyataan. Kumpulan legenda Asia, F FOREVER (F4), bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan konsert jelajah dunia F FOREVER 1st World Tour selama dua malam pada Ogos ini.
Dianjurkan oleh Live Nation Malaysia, konsert eksklusif ini akan berlangsung di Unifi Arena pada 7 dan 8 Ogos 2026, dengan kedua-dua persembahan bermula jam 8 malam.
Anggota kumpulan, Jerry Yan, Van Ness Wu serta Vic Chou akan berganding tenaga bersama Ashin daripada kumpulan rock terkenal Taiwan, Mayday, untuk menceriakan peminat menerusi pentas unik berbentuk bintang yang membolehkan mereka berinteraksi lebih dekat dengan penonton dari setiap sudut arena.
Seorang lagi anggota asal, Ken Chu, tidak menyertai konsert kali ini. Media Taiwan melaporkan ketiadaannya dikaitkan dengan dakwaan berlaku perselisihan faham bersama pihak pengurusan B’in Music.
Ashin, yang dikenali sebagai antara pencetus utama penyatuan semula F4, diundang khas untuk melengkapkan formasi istimewa ini sepanjang jelajah dunia mereka.
Jelajah F FOREVER bermula dengan empat konsert di Shanghai pada Disember lalu, diikuti Chengdu pada Januari, serta Shenzhen dan Wuhan pada bulan Mac.
Siri jelajah di Asia Tenggara diumumkan pada April, dengan Kuala Lumpur tersenarai bersama-sama destinasi seperti Manila, Bangkok dan Singapura.
Ditubuhkan pada 2001, F4 yang asalnya terdiri daripada Yan, Wu, Chou dan Chu menjadi fenomena selepas kejayaan luar biasa drama Meteor Garden, di mana mereka memegang watak kumpulan pelajar kaya yang diberi nama F4.
Nama F4 cukup sinonim dengan kebangkitan era Mandopop awal 2000-an, menerusi irama balada dan lagu pop yang sehingga kini masih dekat di hati peminat seluruh Asia.
Lagu-lagu terbaru seperti Forever Forever dan Always Be My Bro turut menerima sambutan, membuktikan muzik mereka terus relevan melintasi generasi.
Walaupun kumpulan ini rasmi berpecah pada 2009, keempat-empat anggota mengejutkan peminat dengan kemunculan semula ketika konsert Mayday di Taipei Dome pada Julai 2025.
Jualan tiket konsert F FOREVER di Kuala Lumpur akan mula dibuka pada 25 Jun 2026, jam 12 tengah hari melalui BookMyShow Malaysia.
Untuk perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Live Nation Malaysia.









