Home Teknologi Bolehkah AI bertutur dalam bahasa bayi? Aplikasi Jepun cuba memecahkan kod

Bolehkah AI bertutur dalam bahasa bayi? Aplikasi Jepun cuba memecahkan kod

6
0

TOKYO, 12 Jun — Kini, di tengah kekalutan para ibu bapa menguruskan bayi yang menangis, senarai checklist tradisional seperti lapar, mengantuk, lampin basah, kembung perut atau perlukan perhatian, kini mendapat penambahan baharu — kecerdasan buatan (AI).

Semakin ramai ibu bapa di Jepun kini bergantung kepada teknologi inovasi untuk mengenal pasti punca tangisan si kecil mereka, sekali gus mengurangkan teka-teki setiap kali waktu malam yang melelahkan. Salah satu aplikasi yang semakin mendapat perhatian adalah ‘Babylingual’, aplikasi percuma yang diperkenalkan Mac lalu oleh seorang bapa muda berusia 25 tahun, Moto Numazawa.

Iilhamkan daripada pengalaman sebagai bapa baharu yang bakal menimang cahaya mata, Numazawa mula membangunkan aplikasi ini selepas isterinya hamil. Beliau percaya, semakin ramai keluarga hari ini tinggal berjauhan daripada sanak saudara, dan kurang rujukan bagi mendapatkan nasihat penjagaan anak.

Pada akhir April, Numazawa menguji aplikasi itu pada anaknya yang berusia tiga bulan, Saku. Dengan hanya mendekatkan telefon pintar ke bayi yang sedang menangis, Babylingual memberikan “diagnosis” dalam beberapa saat: “Saya lapar.”

Aplikasi ini turut memaparkan peratusan kebarangkalian bagi pelbagai punca tangisan sebelum mencadangkan, “Mungkin sudah tiba masa untuk menyusu.” Dan benar, Saku terus tenang dan tertidur selepas disusukan dalam dakapan ibunya, Yu.

Babylingual dibangunkan berdasarkan kajian yang menunjukkan bayi mengeluarkan corak tangisan yang berbeza mengikut keperluan mereka. Ia mengklasifikasi tangisan kepada lima kategori, membolehkan ibu bapa merekodkan dan berkongsi rakaman dengan penjaga lain, selain menyediakan panduan audio untuk membantu menenangkan bayi.

Bagi Yu, aplikasi tersebut amat berguna apabila keperluan Saku sukar dikenal pasti. “Saya tidak faham kenapa dia menangis ketika perutnya kembung, tetapi aplikasi ini membantu saya,” katanya kepada Kyodo News.

Bagi Numazawa, teknologi tersebut hanyalah alat sokongan, bukannya pengganti naluri seorang ibu atau bapa. “Ibu bapa dan anak akan belajar antara satu sama lain. Saya harap aplikasi ini dapat membantu komunikasi antara mereka,” jelasnya.

Namun, Babylingual bukan satu-satunya aplikasi dalam bidang ini. Syarikat pemula, Cross Medicine yang bekerjasama dengan Universiti Tokushima membangunkan ‘Awababy’ — aplikasi yang dilatih dengan lebih 160,000 rakaman tangisan bayi serta data tentang teknik menenangkan.

Awababy menganalisis tangisan bayi berdasarkan 11 kategori emosi dan memberi cadangan tindak balas sesuai. Menurut Presiden syarikat, Koga Nakai, aplikasi ini paling banyak digunakan pada waktu lewat malam — saat ibu bapa keletihan dan tiada siapa yang boleh dihubungi untuk bertanya khabar atau meminta kepastian.

Syarikat itu percaya teknologi ini boleh membantu mengurangkan tekanan ibu bapa dan mungkin menurunkan risiko kemurungan selepas bersalin. Kerajaan tempatan juga sudah mula menunjukkan minat. Bandar Mishima di Wilayah Shizuoka kini mencuba penggunaan Awababy bersama penduduk dan sedang mempertimbangkan tawaran perkhidmatan ini secara percuma. Sementara itu, bandar Oyama telah mula mengedarkan ID pengguna kepada ibu bapa bayi yang layak.

Walaupun ada kebimbangan bahawa AI bakal menggantikan sentuhan manusia dalam membesarkan anak, aplikasi di Jepun membawakan gambaran berbeza — teknologi ini hadir sebagai pembantu untuk membantu ibu bapa memahami misteri abadi tangisan bayi, bukan mengambil alih peranan mereka.

Akhirnya, setiap ibu bapa mahukan satu perkara sahaja pada jam 3 pagi — untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh si kecil mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here