ISTANBUL, 9 Julai — Qatar telah mengeluarkan amaran keselamatan kecemasan sementara siren amaran berbunyi di Bahrain dan Kuwait awal pagi Khamis, susulan serangan terbaru AS ke atas Iran yang menyebabkan langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan di seluruh Teluk, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Dalam Negeri Qatar menyatakan dalam pesanan kecemasan kepada warganya bahawa tahap ancaman keselamatan adalah tinggi dan menggesa orang ramai untuk kekal di rumah atau di lokasi selamat serta mengikuti arahan rasmi.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain turut mengesahkan siren amaran telah berbunyi dan meminta warganya untuk tetap tenang serta menuju ke tempat yang paling selamat.
Kuwait juga telah mengaktifkan siren amaran, lapor agensi berita rasmi KUNA.
Keadaan ini berlaku selepas media Iran melaporkan serangan baru AS lewat Rabu yang menyasarkan beberapa lokasi di selatan dan tenggara Iran.
Komando Pusat tentera AS menyatakan bahawa pasukan Amerika telah melancarkan serangan tambahan terhadap Iran untuk mengurangkan keupayaan Tehran dalam mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz. — Bernama









