LONDON, 11 Jun – Fenomena gelandangan di United Kingdom sebenarnya boleh dicegah sepenuhnya dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Putera William pada Persidangan Minggu Teknologi London semalam.
Pewaris takhta Britain itu berkata demikian bersempena pelancaran Homelessness Data Lab oleh yayasan amal beliau, Homewards. Inisiatif nasional ini merupakan kerjasama antara pelbagai pihak untuk memanfaatkan data dan teknologi demi mengenal pasti ‘tanda amaran awal’ sebelum seseorang menjadi gelandangan.
Pendekatan baharu ini berkemungkinan membabitkan perkongsian data peribadi berkaitan kewangan, bantuan kebajikan dan kesihatan antara agensi-agensi yang berbeza. Namun begitu, isu keselamatan dan privasi data turut dibangkitkan di kalangan penggiat Minggu Teknologi London.
“Masalah gelandangan bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia sebenarnya boleh dicegah dan boleh dijangka,” kata Putera William sewaktu sesi panel perbincangan.
Beliau percaya, “data dan teknologi boleh digunakan untuk memastikan orang ramai tetap tinggal di rumah, mempunyai pekerjaan, kekal dalam komuniti, bersama keluarga, serta bersekolah seperti biasa.”
Tambah beliau lagi kepada ratusan delegasi yang hadir, “dalam hidup, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.”
Statistik Homewards menunjukkan lebih 430,000 penduduk UK kini hidup sebagai gelandangan, dengan separuh daripada jumlah itu adalah kanak-kanak.
Isu Privasi Data
Dan Hughes, salah seorang pemegang amanah LandAid, iaitu badan amal sektor hartanah yang turut bekerjasama dengan Homewards, menekankan bahawa privasi data peribadi perlu diberi perhatian serius dalam usaha menguruskan isu gelandangan menggunakan teknologi canggih.
“Kita boleh gunakan banyak data untuk mencari penyelesaian, namun hakikatnya kita berurusan dengan maklumat peribadi seseorang individu,” katanya pada satu majlis berasingan di Minggu Teknologi London.
Katanya lagi, “Kita mesti memastikan amalan terbaik dalam pengurusan data peribadi, sambil memanfaatkan maklumat tersebut tanpa menjejaskan privasi.”
Ketua Eksekutif Salesforce UK dan Ireland, Zahra Bahrololoumi, yang juga terlibat dalam projek makmal data ini, berkata AI mampu membantu mengenal pasti bentuk intervensi yang benar-benar berkesan dalam mencegah masalah gelandangan.
“Misi kami ialah untuk mengurangkan beban pentadbiran kepada petugas barisan hadapan,” katanya di samping Putera William.
“Kami menggunakan peralatan AI yang memudahkan petugas memberi tumpuan kepada individu dan keluarga yang paling memerlukan bantuan,” tambah beliau.
— AFP









