Home Sukan Presiden Paraguay Percaya Nasib, Jurulatih Bimbang Cuaca Buruk Hadapi Perancis

Presiden Paraguay Percaya Nasib, Jurulatih Bimbang Cuaca Buruk Hadapi Perancis

0
0

PHILADELPHIA, 4 Julai — Presiden Paraguay, Santiago Peña, tidak akan menghadiri perlawanan pusingan 16 Piala Dunia pasukannya menentang Perancis hari ini atas sebab kepercayaan karut, lapor Agensi Pers Jerman (dpa).

“Sebagai presiden, saya sentiasa menerima jemputan untuk setiap perlawanan. Namun, saya perlu katakan bahawa saya sedikit superstitious. Oleh itu, saya lebih suka menonton perlawanan dari rumah,” kata Peña kepada akhbar tempatan, Hoy.

Peña telah menghadiri perlawanan pembukaan menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, yang dimenangi Paraguay dengan keputusan 4-1.

Dia tidak kembali selepas itu, dan Paraguay telah mengalahkan Turki 1-0, seri 0-0 dengan Australia, dan kemudian mengejutkan juara empat kali, Jerman, dengan kemenangan 4-3 melalui penalti dalam pusingan 32 terakhir.

Peña sebenarnya ingin menghadiri perlawanan menentang Jerman, tetapi ia bertembung dengan Sidang Kemuncak Mercosur di ibu negara, Asunción. Dia kemudian mengisytiharkan hari cuti nasional berikutan kejayaan bersejarah tersebut.

Cabaran menentang Perancis, pasukan pilihan utama, akan menjadi lebih sukar. Jurulatih Gustavo Alfaro membuat perbandingan dengan alam ketika menggambarkan serangan Perancis yang melibatkan Kylian Mbappé, Ousmane Dembélé, dan Michael Olise.

“Saya adalah seorang kampung, dan setiap kali ribut petir melanda Rafaela, saya tahu saya perlu mencari perlindungan – tetapi bukan di bawah pokok, kerana petir boleh melanda di situ,” katanya.

“Perancis adalah ribut petir, dan hampir semua petirnya jatuh ke tanah. Tugas kami adalah melindungi diri daripada ribut petir ini,” ujarnya.

“Perlawanan esok bukanlah perlawanan biasa; ia bukan perlawanan seperti yang lain. Kerana kami bermain menentang nombor satu dunia. Saya berharap Paraguay akan menjalani banyak lagi perlawanan seperti ini di masa hadapan,” kata jurulatih pasukan yang menjangkau suku akhir pada 2010 tersebut.

Alfaro menyatakan bahawa kemenangan ke atas Jerman adalah pemangkin moral, dengan menyatakan: “Keyakinan adalah seperti baldi air; apabila kita menang, ia akan bertambah – dan kemenangan ke atas Jerman adalah seperti tambahan tangki air.” — Bernama-dpa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here