LONDON, 6 Julai — Syarikat penerbangan bajet Britain, EasyJet, akhirnya memberi respon positif terhadap tawaran pengambilalihan kelima daripada pelabur Amerika Syarikat (AS), Castlelake, apabila mereka bersetuju “secara prinsip” dengan tawaran tersebut, menurut pengumuman syarikat-syarikat itu di London pada hari Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Castlelake kini menawarkan £6.90 (RM37.56) setiap saham, menilai EasyJet pada harga £5.2 bilion.
Pada 25 Jun lalu, EasyJet menolak tawaran bernilai £4.93 bilion, yang merupakan peningkatan daripada tawaran sebelum ini, tetapi menyatakan bahawa mereka mungkin akan kembali dengan “proposal yang lebih menarik.”
Oleh kerana Castlelake merupakan syarikat AS, ia tidak dapat mengambil alih kawalan majoriti ke atas syarikat penerbangan Eropah dan oleh itu memerlukan rakan kongsi.
Sehubungan itu, Castlelake dilaporkan akan bekerjasama dengan pengurus penerbangan, Peter Bellew dan Mark Breen. Bellew sebelum ini bekerja di EasyJet sebelum keluar secara tiba-tiba dari syarikat itu pada tahun 2022.
Antara aset paling menarik EasyJet adalah armada pesawat Airbus A320 yang moden serta hak mendarat di London, Milan dan Geneva.
Pemegang saham terbesar syarikat ini adalah keluarga pengasasnya, Stelios Haji-Ioannou, seorang usahawan British-Siprus, dengan pegangan sebanyak 15.3 peratus. — Bernama-dpa









