JOHOR BAHRU, 5 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengulangi komitmennya untuk membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang hebat dan berjaya.
Bercakap pada majlis makan malam bersama masyarakat Cina di sini malam tadi, Anwar juga menyatakan harapannya untuk diingati sebagai seorang pemimpin yang berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri berkata pada usia dan tahap kepimpinannya sekarang, tumpuan utamanya adalah untuk meninggalkan legasi kepimpinan yang adil, bersih, dan berdedikasi yang memberi perkhidmatan kepada semua komuniti di negara ini.
“Setiap warganegara di negara ini adalah penting. Sebagai Perdana Menteri, saya perlu berkhidmat kepada semua. Saya perlu menunjukkan bahawa saya mencintai rakyat saya.
“Saya sudah tua. Esok bila saya bersara, saya mahu orang berkata Anwar mencintai rakyat, dan rakyat juga mencintainya. Jadi marilah kita menjaga negara ini seperti milik kita sendiri, bersama-sama. Itu adalah satu-satunya cara kita boleh berjaya,” katanya.
Hadir sama pada acara itu ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menegaskan sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia meninggalkan politik berasaskan kaum dan menyalurkan semua usaha kepada pembinaan negara.
Beliau berkata, mandat untuk memilih pemimpin yang mampu memupuk kerjasama demi kemajuan negeri dan negara terletak di tangan rakyat, tanpa mengira kaum atau afiliasi parti.
“Kita sudah merdeka hampir 70 tahun, tetapi kita masih bertelagah tentang kaum. ‘Orang ini boleh menjadi kawan, DAP tidak boleh, DAP di KL okay, tetapi tidak di Johor.’ Cina, India, Melayu, anda tentukan siapa yang anda mahu jadi kawan,” katanya.
Mengenai pembangunan Johor, Anwar berkata kerajaan persekutuan kini memberikan perhatian yang lebih besar kepada negeri ini untuk memastikan pertumbuhan tidak terhad kepada Johor Bahru tetapi juga meluas ke kawasan lain.
Beliau menyebut Simpang Renggam dan Mersing sebagai daerah yang masih memerlukan pelaburan dan projek berimpak tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi keseluruhan negeri.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan terus memacu pembangunan Johor tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri, tetapi mengakui bahawa hubungan kuat antara negeri dan persekutuan akan mempermudahkan agenda pembangunan.
Beliau menggesa rakyat Johor, termasuk mereka yang bekerja di Singapura dan di tempat lain, untuk pulang dan mengundi pada pilihan raya akan datang demi menentukan masa depan negeri.
Anwar menekankan bahawa kehadiran pengundi daripada semua kaum adalah penting bagi memastikan Johor menikmati pembangunan yang lestari melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Pilihan Raya Negeri Johor menyaksikan 172 calon bertanding 56 kerusi, dengan pengundian dijadualkan pada 11 Julai dan pengundian awal pada 7 Julai.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, sila lawati https://prn.bernama.com/johor/. — Bernama









