Home Malaysia Putrajaya akan kumpul data terperinci tenaga kerja sebelum tetapkan kuota pekerja asing

Putrajaya akan kumpul data terperinci tenaga kerja sebelum tetapkan kuota pekerja asing

2
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Kerajaan akan mengumpul data lebih terperinci mengenai keperluan tenaga kerja sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kuota pekerja asing bagi sektor restoran dan pembinaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beberapa kementerian untuk berunding dengan pemain industri bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan sebenar tenaga kerja di negara ini.

“Ketika ini, Malaysia masih mengekalkan dasar untuk mengehadkan jumlah keseluruhan pekerja asing. Justeru, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada pihak industri mengenai keperluan tenaga kerja, termasuk permintaan terhadap pekerja asing,” katanya.

Tambah beliau, segala maklumat yang dikumpul akan diperhalusi sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan.

Bulan lalu, Anwar menegaskan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap tenaga buruh asing seiring dengan matlamat negara untuk beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan lebih maju.

Kata Perdana Menteri, kerajaan kini giat memperkukuh latihan kemahiran melalui institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), universiti dan kolej bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih berkemahiran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Apabila ekonomi negara semakin berkembang, kita sedar bahawa kita tidak lagi boleh bergantung kepada tenaga kerja asing murah,” ujar beliau ketika berucap pada forum Ilmuwan Malaysia Madani di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here