Kerajaan Selangor Tegas: Semua Penempatan Haram Akan Dihapus Tanpa Mengira Kewarganegaraan
KUALA SELANGOR, 12 Jun — Kerajaan Selangor menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua penempatan haram di negeri ini, termasuk arahan perobohan, tanpa mengira kewarganegaraan penghuni, jelas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, langkah penguatkuasaan yang diambil tidak dipengaruhi sentimen atau isu asal usul penduduk, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan keperluan pentadbiran tanah, syarat guna tanah dan pematuhan kepada peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Isu ini tidak berkaitan sama ada membabitkan Rohingya, Indonesia, Vietnam, Nepal atau mana-mana kumpulan lain.
“Fokus utama adalah pentadbiran dan pengurusan, kelulusan tanah, penggunaan tanah serta kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Operasi Loji Waste-to-Energy (WTE) 1 di Jeram, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihak kerajaan negeri telah mengeluarkan notis serta amaran kepada pihak yang terlibat sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Kebanyakkan kes, katanya, berlaku akibat pelanggaran syarat penggunaan tanah atau pembangunan melebihi had yang diluluskan.
Bagaimanapun, Amirudin menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap perlu mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan, termasuk memberi tempoh mencukupi kepada pemilik tanah untuk memperbetulkan kesalahan sebelum tindakan lebih tegas seperti pelucuthakan tanah diambil.
“Proses pelucuthakan tanah bukan perkara mudah, justeru tatacara undang-undang mesti diikuti. Namun, saya telah mendapat jaminan dari Pegawai Daerah bahawa tindakan segera akan diambil untuk merobohkan struktur haram terbabit.
“Kerajaan negeri juga akan terus membantu operasi penguatkuasaan, termasuk menyediakan logistik seperti lori oleh pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pengalihan barang atau memindahkan warga asing yang terlibat,” jelas beliau.
Amirudin turut menambah, isu berkaitan pendatang tanpa dokumen adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, manakala kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan hanya membantu dari segi logistik dan penguatkuasaan berkaitan peraturan pihak berkuasa tempatan dan guna tanah.
Baru-baru ini, isu penempatan haram yang didiami komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat menjadi tular di media sosial. Amirudin memaklumkan sejak tahun 2016, pelbagai agensi kerajaan telah mengambil tindakan terhadap masalah tersebut. Pada hari yang sama, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat turut memaklumkan bahawa perobohan bangunan kediaman bertingkat di kawasan berkenaan akan dilaksanakan mengikut undang-undang sedia ada. — Bernama









