KUALA LUMPUR, 8 Jun — Hampir sedekad selepas kejayaan luar biasa Persona 5, peminat permainan video akhirnya mendapat berita yang dinanti-nantikan. Atlus, pembangun francais tersohor ini, secara rasmi mengumumkan Persona 6 ketika siaran langsung Xbox pada Ahad, sekali gus menggamatkan komuniti peminat di seluruh dunia.
Pemgumuman itu mungkin belum mendedahkan tarikh pelancaran, namun satu berita besar telah didedahkan: Persona 6 bakal hadir untuk PlayStation dan Xbox serentak.
Langkah ini dianggap sebagai satu perubahan besar bagi subseri Shin Megami Tensei, yang sinonim dengan konsol PlayStation sejak sekian lama. Walaupun rakaman awal yang dipertontonkan amat terhad, pengesahan bahawa permainan ini benar-benar wujud cukup untuk membangkitkan keterujaan dalam kalangan peminat yang telah bertahun-tahun menanti, memburu setiap bocoran dan khabar angin yang berlegar di internet.
Teaser pertama yang ditayangkan tampil dengan suasana misteri dan gelap. Ia bermula dengan paparan tanah perkuburan yang dipenuhi batu nisan dan patung tanpa kepala di tengah-tengah. Ketika tangan seorang lelaki menyentuh batu tersebut, skrin disimbahi kilatan warna-warna terang, diiringi bayangan nadi darah yang jelas, menyerlahkan elemen visual yang cukup kuat dan penuh simbolik.
Dari aspek rekaan, Persona 6 jelas berani mengetengahkan gaya avant-garde, menampilkan unsur industri dan kelam — seolah-olah kembali kepada asal-usul siri ini yang lebih dewasa dan suram, berbeza daripada nuansa ceria kehidupan sekolah menengah yang kerap mendominasi permainan terdahulu.
Seperti biasa dalam dunia Persona, sebuah tanah perkuburan bukan sekadar lokasi biasa. Jika sebelum ini Persona 3 berjaya ‘menghidupkan’ sekolah menengah menjadi penjara penuh misteri setinggi 100 tingkat pada waktu tengah malam, elemen supernatural dalam Persona 6 pasti setanding jika tidak lebih aneh.
Identiti protagonis dan latar sebenar permainan masih dirahsiakan, namun satu perkara yang dipastikan ialah tema warna utama Persona 6 ialah hijau — mengesahkan spekulasi yang telah lama tersebar.
Sejak dahulu lagi siri Persona terkenal dengan penggunaan tema warna yang konsisten: Persona 3 dengan biru, Persona 4 kuning dan Persona 5 merah.
Kemunculan Persona 6 juga tepat pada masanya. Tahun 2026 bakal menjadi ulang tahun ke-30 francais Persona. Penerbitnya, Sega, sebelum ini sudah memberi bayangan bahawa mereka akan meraikan tahun istimewa ini dengan sesuatu yang besar, sekali gus meningkatkan lagi jangkaan peminat terhadap kehadiran judul baharu.
Selepas Persona 5 melonjakkan populariti francais ini ke peringkat antarabangsa sejak 2017, reputasi siri ini terus diperkukuh menerusi pujian kritikal terhadap Persona 5 Royal (2019) dan ‘remake’ berkualiti tinggi Persona 3 Reload pada 2024.
Sekiranya segala perancangan berjalan lancar, tahun 2026 bakal menjadi detik paling bermakna buat peminat setia. Selain menantikan Persona 6, peminat juga tidak sabar menanti pelancaran Persona 4 Revival, versi baharu bagi klasik 2008 yang dijadualkan menemui pemain tahun ini.
Sama ada Atlus akan terus mengejutkan peminat dengan pengumuman lain sempena ulang tahun ke-30 masih menjadi tanda tanya, namun buat masa ini, komuniti Persona sudah mempunyai banyak sebab untuk meraikan.









