Home Lifestyle Bendera Merah: Kitaran Bulanan yang Memaksa MC

Bendera Merah: Kitaran Bulanan yang Memaksa MC

7
0


Setiap bulan, bila datangnya haid, sudah pasti saya terpaksa ambil cuti sakit. Mengguling-guling atas katil sambil meletakkan botol air panas. Darah keluar melimpah seolah-olah paip bocor, hingga terpaksa pakai pad bersalin untuk pergi ke pejabat, takut bocor.

Apabila saya mengadu sakit kepada rakan sekerja, ada yang berkata, “Senggugut itu biasa bagi perempuan. Lepas kahwin dan beranak, hilanglah semua ini.”

Lebih menyakitkan apabila perut saya bengkak semasa datang haid, tiba-tiba ada seseorang di pejabat berkata, “Eh, nampak berisi; ada isi ke?” Sedangkan saya sedang berjuang menahan kesakitan yang luar biasa.

Hentikanlah menjadikan senggugut yang teruk ini norma.

Banyak wanita sebenarnya menderita dalam senyap dengan keadaan yang dipanggil Adenomyosis. Mari kita fahami sainsnya dalam bahasa mudah. Biasanya, setiap bulan, lapisan dalam rahim akan luruh dan dikeluarkan sebagai darah haid. Namun, dalam kes Adenomyosis, tisu lapisan tersebut tersesat dan tumbuh ke dalam dinding otot rahim.

Apabila haid tiba, tisu yang tersesat dalam otot itu juga berdarah. Bayangkan darah terperangkap di antara otot rahim.

Kesannya, otot rahim akan membengkak, meradang, dan saiznya boleh membesar dua hingga tiga kali ganda dari biasa. Sebab itu, perut pesakit kelihatan sedikit buncit, seakan-akan hamil muda.

Ketika rahim yang bengkak ini berusaha mengeluarkan darah haid, ia memaksa otot mengecut dengan tenaga yang lebih kuat, dan itulah punca kesakitan senggugut yang membuatkan kita rasa seolah-olah nyawa berada di hujung tanduk.

Jadi kepada para suami, ketua jabatan, atau rakan sekerja, tolonglah fahami. Mereka bukan manja dan bukan sengaja berpura-pura sakit untuk mengelak pekerjaan. Tubuh mereka sebenarnya sedang berjuang.

Jika anda sering mengalami senggugut sehingga muntah dan terpaksa ambil cuti setiap bulan, itu bukan senggugut biasa. Segeralah berjumpa doktor pakar sakit puan untuk menjalani imbasan ultrasound.

Siapa di kalangan rakan pejabat anda yang setiap bulan kelihatan pucat dan menahan kesakitan di meja? Sila nasihatkan mereka untuk mendapatkan pemeriksaan segera sebelum keadaan bertambah teruk.


Source

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here