Home Teknologi Legasi ‘The Duke’: Microsoft perkenal bundle Xbox edisi nostalgia sempena ulang tahun...

Legasi ‘The Duke’: Microsoft perkenal bundle Xbox edisi nostalgia sempena ulang tahun ke-25

3
0

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Microsoft mengangkat sejarah 25 tahun dunia permainan video dengan kemunculan koleksi edisi khas yang pasti memikat peminat tegar konsol ini. Memperkenalkan Xbox 25th Anniversary Collection — satu set konsol dan kawalan ‘OG Green’ lut sinar yang direka khas buat mereka yang setia sejak era awal Xbox.

Paling mencuri tumpuan dalam koleksi ini ialah Xbox Series X 25th Limited Edition. Buat pertama kalinya bagi generasi semasa, Microsoft tampil dengan rekaan bertemakan lut sinar pada konsol Series X, menonjolkan komponen dalaman dan menyerlahkan sisi eksklusifnya.

Terinspirasi daripada Xbox asal yang muncul pada tahun 2001, konsol ini hadir dengan storan 1TB dan mengekalkan ikon “X” yang menyala hijau terang sebaik sahaja dihidupkan — satu sentuhan nostalgik yang mengimbau kenangan pengguna setia Xbox lebih dua dekad lalu.

Logo ulang tahun ke-25 terpapar jelas di bahagian hadapan, disertakan reka bentuk halus yang menggambarkan evolusi konsol ikonik ini.

Buat peminat kawalan klasik, nostalgia diteruskan menerusi Xbox Wireless Controller X25 Special Edition. Ciri warna tombol ABXY klasik kembali diperkenalkan, manakala butang bumper menampilkan tema hitam-putih yang sinonim dengan kawalan ‘Duke’ lagenda. Tidak ketinggalan, bahagian belakang kawalan dan penutup bateri turut direka lut sinar, menampakkan logo Xbox vintage di bawahnya.

Menurut Microsoft, inspirasi di sebalik rekaan kali ini amat jelas: menampilkan 25 tahun memori permainan kepada umum dengan penuh bangga.

Menariknya, Microsoft turut mengusik peminat dengan tawaran “kejutan tersembunyi” yang disertakan dalam koleksi ini. Walaupun perinciannya masih dirahsiakan, petunjuk ini sudah cukup untuk membuatkan peminat setia tidak sabar menanti penampilannya.

Konsol dan kawalan istimewa ini bakal dipasarkan sebagai satu set dalam pasaran terpilih bermula November nanti. Namun, bagi mereka yang hanya mahukan kawalan X25, ia juga akan dijual secara berasingan untuk melengkapkan koleksi atau menaik taraf peralatan sedia ada.

Harga rasmi dan tarikh kemasukan pasaran tempatan masih belum diumumkan setakat ini, namun Microsoft memberi jaminan maklumat lanjut akan dikongsikan dalam masa terdekat. Koleksi ulang tahun ini juga hanyalah permulaan kepada siri sambutan yang lebih besar sepanjang tahun, dengan lebih banyak pengumuman menarik dijangka menyusul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here