Home Malaysia Pengamal Media gesa kerajaan sediakan bantuan kesihatan, kebajikan untuk veteran industri

Pengamal Media gesa kerajaan sediakan bantuan kesihatan, kebajikan untuk veteran industri

4
0

Kerajaan Disaran Perkenalkan Bantuan Kebajikan Khusus untuk Veteran Media

IPOH, 12 Jun — Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan penubuhan satu mekanisme bantuan khusus kepada veteran atau bekas pengamal media sebagai pengiktirafan terhadap jasa mereka dalam industri kewartawanan negara, di samping membantu meringankan beban kewangan mereka selepas bersara.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad berkata, antara bantuan yang wajar diberikan adalah akses rawatan percuma di fasiliti kesihatan kerajaan, seperti kemudahan yang dinikmati penjawat awam ketika ini.

Menurutnya, langkah ini tidak hanya meringankan beban kos perubatan bahkan menjadi tanda penghargaan kepada pengamal media yang telah banyak menyumbang kepada penyebaran maklumat dan kemajuan negara.

“Ramai bekas pengamal media menghadapi pelbagai masalah kesihatan akibat usia dan tekanan kerja sepanjang bertugas. Rawatan perubatan percuma pasti memberi kelegaan kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

Tambah beliau, usaha mengumpul data lengkap mengenai bekas pengamal media juga perlu diberi keutamaan, termasuk melalui persatuan atau kelab media di setiap negeri, agar bantuan dapat disalur dengan lebih tersusun dan menyeluruh.

Pandangan sama turut dikongsi jurufoto The Star, Ronnie Chin Foon Kheng, 53, yang menyatakan ramai bekas pengamal media berdepan cabaran hidup termasuk masalah kesihatan dan ketiadaan pendapatan tetap selepas bersara.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan dari segi perubatan untuk golongan ini, termasuk bantuan rawatan, saringan kesihatan berkala dan sokongan perubatan bagi meringankan beban mereka,” kata Ronnie yang berpengalaman hampir 25 tahun dalam bidang fotografi.

Beliau turut mencadangkan bantuan sara hidup atau elaun khas diberi kepada bekas pengamal media yang tidak lagi bekerja dan tiada pendapatan tetap, agar mereka dapat menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

Wartawan Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Shaharil Kadir, 48, pula mencadangkan agar kad khas diperkenalkan untuk veteran media bagi memudahkan penyaluran bantuan dan kemudahan secara lebih sistematik.

Menurutnya, kad tersebut boleh dijadikan medium rasmi untuk membolehkan pemegang menikmati pelbagai keistimewaan serta kemudahan, khususnya di institusi dan agensi kerajaan.

“Inisiatif kad khas ini juga boleh diperluaskan dengan tawaran insentif seperti potongan harga tambang penerbangan dan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan beban kos hidup,” katanya yang berkongsi cadangan penambahbaikan kebajikan bekas pengamal media.

Tambah beliau lagi, kerjasama strategik dengan sektor swasta juga boleh diperkukuh agar pemegang kad berpeluang menerima pelbagai tawaran harga istimewa atau diskaun untuk produk dan perkhidmatan, terutamanya sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kelab media negeri di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) telah diminta mengemukakan cadangan bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media, termasuk menubuhkan mekanisme lebih tersusun untuk membantu veteran industri ini.

Fahmi berkata, cadangan tersebut boleh dipertimbangkan sebelum sambutan Hawana agar satu kerangka kebajikan lebih sistematik dapat diwujudkan.

Menurutnya, ada bekas pengamal media yang rasa terpinggir selepas bersara, malah ada yang memilih untuk hidup secara lebih peribadi. Justeru, pendekatan lebih terancang diperlukan agar mereka yang memerlukan sokongan sosial dan kebajikan dapat dibantu.

Sambutan Hawana 2026 yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun depan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan serta antarabangsa, dengan acara utama bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hari Wartawan Nasional (Hawana) disambut setiap tahun pada 29 Mei bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai penghargaan kepada bakti dan sumbangan pengamal media terhadap pembangunan negara. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here