Home Malaysia Aset Jamal Yunos Akan Dilelong Selepas Gagal Bayar Pampasan kepada Teresa Kok

Aset Jamal Yunos Akan Dilelong Selepas Gagal Bayar Pampasan kepada Teresa Kok

5
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Selepas gagal membayar amaun penghakiman sebanyak RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sebanyak 14 barangan alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, akan dilelong pada 22 Jun ini.

Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Teresa Kok berkata, Mahkamah Tinggi hari ini telah menolak permohonan interpleader yang dikemukakan oleh anak Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa barangan yang disita itu adalah miliknya.

“Permohonan Muhammad Amin Daniel telah ditolak dengan kos sebanyak RM8,000. Seorang lagi individu, Mohd Razali Kamin, telah menarik balik tuntutan interpleader dan diarahkan membayar kos RM2,000.

“Dengan keputusan ini, tiada lagi halangan untuk meneruskan prosiding pelaksanaan penghakiman tersebut. Lelongan barangan yang disita itu akan berlangsung pada 22 Jun 2026 jam 10 pagi,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman, yang berlangsung secara sidang video hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Penolong Kanan Pendaftar bersama bailif mahkamah, peguam, dan pegawai polis hadir ke kediaman Jamal di Ampang Jaya, Selangor, bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan terhadap 14 barangan alih tersebut.

Tindakan penyitaan dan penjualan dilaksanakan bagi mendapatkan tuntutan penghakiman yang masih belum dijelaskan kepada Teresa Kok dalam kes saman fitnah berkenaan.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kok. Jamal bagaimanapun telah menjelaskan bayaran ganti rugi itu.

Terdahulu, pada 26 Julai 2022, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.

Teresa Kok memfailkan saman pada 6 April 2017 atas dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung dana Yawas ketika satu sidang media pada 8 Mac tahun yang sama.

Menerusi tuntutan tersebut, Kok mendakwa kenyataan fitnah itu telah tersebar melalui media cetak dan elektronik termasuk akaun Facebook Jamal, sehingga memberi gambaran beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi serta tidak beretika.

— Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here