Home Ekonomi SpaceX akan mula berdagang dalam IPO terbesar dalam sejarah ketika Musk mengintai...

SpaceX akan mula berdagang dalam IPO terbesar dalam sejarah ketika Musk mengintai status trilionair

6
0

SpaceX Cipta Sejarah, Bakal Mula Dagangan Saham Terbesar Dunia di Nasdaq – Elon Musk Dijangka Raih Status Trilionair

NEW YORK, 12 Jun — Syarikat aeroangkasa milik jutawan terkenal Elon Musk, SpaceX, bakal mencipta sejarah apabila mula disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq hari ini. Langkah ini menandakan penawaran awam permulaan (IPO) terbesar pernah direkodkan di dunia, sekali gus boleh melonjakkan Musk ke status trilionair.

Menurut pemfailan bersama pihak pengawal selia pasaran Amerika Syarikat, SpaceX menawarkan lebih 555 juta saham pada harga AS$135 seunit, menjadikan syarikat ini tersenarai dalam kelompok 10 syarikat terbesar di Wall Street dengan penilaian hampir AS$1.8 trilion.

Penilaian ini mengatasi syarikat-syarikat gergasi lain milik Musk sendiri seperti Tesla, serta syarikat teknologi terkemuka dunia lain termasuk Meta (syarikat induk Facebook) dan Walmart.

IPO ini bakal mengumpul dana sehingga AS$75 bilion, jauh meninggalkan rekod terdahulu yang dipegang oleh Saudi Aramco dengan AS$29.4 bilion pada tahun 2019.

Pihak underwriter turut diberikan pilihan untuk membeli hampir 83 juta saham tambahan. Jika opsyen ini digunakan sepenuhnya, jumlah kutipan keseluruhan boleh melebihi AS$86 bilion.

SpaceX yang diasaskan bersama oleh Elon Musk pada 2002 akan menggunakan simbol dagangan “SPCX”, dengan penyenaraian serentak di Nasdaq Texas. Tumpuan seluruh pasaran global kini bertumpu kepada bagaimana reaksi Wall Street terhadap kemunculan bersejarah ini, yang dijangka memberi impak besar ke atas pasaran kewangan dunia.

SpaceX merupakan syarikat pertama dalam kalangan gergasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang melangkah ke pasaran awam tahun ini, dengan OpenAI dan Anthropic dilaporkan turut merancang untuk menyusul langkah yang sama selepas ini.

Seperti lazimnya bagi kemunculan IPO berskala besar, barisan eksekutif SpaceX dijangka akan melangsungkan upacara membunyikan loceng pembukaan dagangan pada Jumaat di Times Square, New York, yang juga lokasi utama Nasdaq.

Penyenaraian ini merupakan pertaruhan kewangan terbesar Musk setakat ini, setelah beliau menggabungkan syarikat xAI dan platform media sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) ke dalam penawaran SpaceX awal tahun ini.

Antara bank pelaburan utama yang mengetuai urus niaga ini termasuklah Goldman Sachs, Morgan Stanley dan Bank of America dengan lebih 20 bank lain turut sama terlibat.

Bloomberg melaporkan, IPO SpaceX menerima permintaan yang sangat tinggi dengan lebihan permohonan empat kali ganda daripada bank-bank utama dan institusi kewangan, sementara minat daripada pelabur runcit juga dikatakan amat memberangsangkan.

Menariknya, lebih 20 peratus daripada jumlah saham akan diperuntukkan kepada pelabur runcit – angka jauh lebih tinggi berbanding amalan biasa pasaran IPO – sekali gus memberikan peluang kepada penyokong setia Musk membeli sebahagian daripada syarikat tersebut.

Pusat Data di Angkasa, Keuntungan Besar Bergantung Kepada Keyakinan Pelabur

Kejayaan IPO ini banyak bergantung kepada kepercayaan pelabur terhadap visi dan kepimpinan Musk yang dilihat sebagai usahawan luar biasa. Musk juga akan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Teknologi, dan Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat yang baru disenarai ini.

Penyenaraian ini sekali gus dijangka akan melahirkan ribuan jutawan baharu dan beberapa bilionair dalam kalangan pekerja, bekas kakitangan serta pelabur awal SpaceX yang telah bersama syarikat itu sejak hampir suku abad lalu.

Namun, sesetengah penganalisis di Wall Street masih berhati-hati memandangkan penilaian syarikat ini bergantung banyak kepada janji-janji bercita-cita tinggi Musk, termasuk perancangan bernilai fiksyen sains seperti pembinaan pusat data di angkasa dan penghantaran manusia ke planet Marikh menerusi teknologi yang masih belum terbukti.

Walaupun pendapatan SpaceX berkembang pesat dengan merekodkan AS$18.7 bilion pada tahun 2025, syarikat itu masih mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$4.9 bilion.

Lebih mengejutkan, SpaceX dalam pemfailannya meramalkan syarikat boleh meraih pendapatan melebihi AS$28.5 trilion daripada pelbagai pasaran yang diceburi pada masa depan.

Jika penyenaraian ini berjaya, Elon Musk berpotensi menjadi individu pertama di dunia bergelar trilionair, memandangkan kekayaan beliau setakat semalam telah mencecah AS$782 bilion menurut senarai Forbes – hampir tiga kali ganda lebih banyak daripada kekayaan pengasas Google, Larry Page yang berada di tangga kedua.

Namun begitu, fenomena ini turut menimbulkan keresahan. “Satu trilion dolar di bawah kuasa seorang individu bukan sahaja tidak seiring ekonomi mampu milik, malah boleh menjejaskan amalan demokrasi sihat,” kata Nabil Ahmed, Pengarah Kanan Keadilan Ekonomi di Oxfam America.

Sejurus sebelum dagangan IPO dilancarkan, sekumpulan aktivis telah melakukan tunjuk perasaan di hadapan pejabat Nasdaq dengan mempamerkan patung belon gergasi berbentuk Musk, sebagai bantahan terhadap penciptaan imej palsu seksual menggunakan chatbot Grok dari xAI.

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here