SEOUL, 29 Jun — Industri cip di Korea Selatan akan menyaksikan pelaburan rekod melebihi setengah trilion dolar apabila permintaan untuk komponen yang menyokong pusat data kecerdasan buatan (AI) melonjak, demikian diumumkan oleh kerajaan pada hari Isnin.
Projek bernilai 800 trilion won (US$518 bilion; RM2.11 trilion) ini akan merangkumi empat kilang pengeluaran cip di kawasan barat daya yang kurang membangun, kata Menteri Industri Kim Jung-kwan kepada pemberita.
Pengumuman ini dibuat bersama wakil-wakil dari Samsung, SK hynix dan syarikat elektronik lain selaras dengan agenda Presiden Lee Jae Myung untuk pembangunan industri di kawasan luar ibu kota Seoul.
“Kami akan membangunkan kawasan barat daya menjadi hab pengeluaran semikonduktor kedua. Kami akan membina empat kilang memori melalui pelaburan syarikat yang berjumlah 800 trilion won,” kata Kim di pejabat presiden.
Pelaburan baru ini adalah yang terbesar setakat ini sejak Kumpulan Samsung dan Kumpulan Hyundai Motor mengumumkan pelan untuk melabur masing-masing 450 trilion won (RM1.1 trilion) dan 125 trilion won (RM33 bilion) di Korea Selatan selama lima tahun.
“Pusat data AI berfungsi sebagai nadi yang menggerakkan kecerdasan buatan, dan pelaburan global dalamnya dijangka mencapai kira-kira US$5.5 trilion (RM22.35 trilion) menjelang 2030,” menurut kenyataan kerajaan.
“Kerajaan menyediakan sokongan bagi memastikan pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur AI ini membawa kepada pertumbuhan industri pusat data AI domestik dan menguatkan daya saing ekosistemnya.” — AFP









