Home Hiburan Tahap Ancaman Siber Dinaikkan Ke Sederhana, MKN Arah Sistem Negara Dipantau 24...

Tahap Ancaman Siber Dinaikkan Ke Sederhana, MKN Arah Sistem Negara Dipantau 24 Jam

4
0

Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (National Cyber Security Threat Level, NCTL) dinaikkan daripada tahap Rendah kepada Sederhana berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa, petik kenyataan rasmi.

Langkah tersebut diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) susulan kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 3 November 2026 berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan serantau dan antarabangsa.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah menggerakkan tindakan proaktif dengan mengadakan sesi mesyuarat bersama Ketua Sektor dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan di setiap sektor.

Menerusi mesyuarat tersebut, kesemua entiti NCII diwajibkan melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan keselamatan siber yang merangkumi pemantauan 24 jam, tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor (multi-factor authentication), dan pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan. Selain itu, Ketua Sektor NCII turut dikehendaki mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada pihak NACSA.

Penyelarasan langkah kesiapsiagaan siber ini juga telah dibentangkan secara rasmi dalam Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan pada 3 November 2026.

Dalam perkembangan sama, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) di bawah NACSA terus melaksanakan tiga gerak kerja utama secara berterusan bagi membendung risiko. Tiga gerak kerja tersebut melibatkan pengeluaran amaran (alert) dan nasihat (advisory) keselamatan siber, pengukuhan keupayaan pengesanan dan penilaian ancaman, serta pemantauan keselamatan siber terhadap entiti NCII dan agensi Kerajaan.

Tindakan awal ini membolehkan langkah pencegahan serta mitigasi diambil segera bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap perkhidmatan penting negara. Sepanjang Oktober 2026 sahaja, pihak NC4 telah mengeluarkan lapan amaran dan nasihat berhubung kerentanan yang berpotensi memberi impak kepada entiti NCII serta agensi Kerajaan.

MKN JPM menegaskan bahawa situasi keselamatan negara kekal terkawal dan komitmen penuh terus diberikan bagi memelihara kedaulatan negara.

“MKN JPM kekal komited dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara melalui langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan, demi melindungi rakyat serta kepentingan negara,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

Sebarang perkembangan terkini mengenai situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi MKN JPM.

#Tahap #Ancaman #Siber #Dinaikkan #Sederhana #MKN #Arah #Sistem #Negara #Dipantau #Jam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here