SKUAD AMD B-13 MENYERTAI RSA & CATALUNYA INVITATIONAL CUP 2026 DI SINGAPURA
Skuad Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) B-13 yang dilatih oleh Hassan Sazali Waras akan membuat debut mereka di kejohanan antarabangsa pada tahun 2026 dengan menyertai RSA & Catalunya Invitational Cup yang akan diadakan di Singapura pada hari Ahad, 3 Mei 2026.
Acara B-14 ini, yang berlangsung selama satu hari di Canadian International School, bakal melibatkan enam pasukan. Kumpulan A terdiri daripada tiga pasukan dari Singapura, manakala Kumpulan B akan menampilkan tiga pasukan dari Malaysia, iaitu AMD B-13, JDT B-14, dan TSS Selangor B-14.
Hassan Sazali menjelaskan bahawa kejohanan di Singapura ini adalah peluang terbaik bagi para pemainnya yang baru bermula sebagai pelatih dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di AMD, Gambang, Pahang, sejak Januari lalu.
“Di Singapura, pemain berusia 13 tahun ini akan bertanding menentang lawan yang berusia 14 tahun. Ini adalah langkah pendedahan dan persiapan sebelum mereka menyertai Liga KPM B-14 dan Liga Remaja Kebangsaan B-15 yang akan bermula pada bulan Jun hadapan.
“Kami telah melakukan beberapa siri jelajah pramusim di Lembah Klang dan ini merupakan kejohanan pertama di luar negara bagi para pemain. Saya yakin mereka sudah bersedia untuk memberi prestasi yang terbaik,” kata Hassan Sazali.
Format bagi RSA & Catalunya Invitational Cup ini menyaksikan juara Kumpulan A dan B akan terus layak ke perlawanan akhir, manakala pasukan naib juara dari kedua-dua kumpulan akan bertemu untuk merebut tempat ketiga.






