Jabatan Imigresen Sarawak menahan 24 warga asing dalam tiga operasi serentak — Op Minyak, Op Selera dan Op Mahir — di tujuh lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, 11 Julai. Operasi selama enam jam itu bermula pada jam 9 pagi semalam susulan aduan orang awam dan risikan terdahulu.
Pemeriksaan memberi tumpuan kepada bengkel jentera berat di Kampung Semeba dan Kampung Sudat di Kuching. Gerai makanan serta premis disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian di Muara Tuang, Kota Samarahan turut diperiksa, selain premis besi buruk dan barangan terpakai sekitar Kota Samarahan.
Kesemua 24 individu ditahan atas syak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Satu saman saksi turut dikeluarkan untuk membantu siasatan lanjut.
Jabatan Imigresen menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai kehadiran pendatang tanpa izin atau aktiviti tidak sah kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya. Siasatan masih diteruskan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan.








