Home Malaysia CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Rasuah RM1.45 Juta Menerusi Tender Pusat Skuasy...

CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Rasuah RM1.45 Juta Menerusi Tender Pusat Skuasy Kebangsaan Bukit Jalil

3
0

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan tujuh pertuduhan rasuah melibatkan RM1.45 juta berkaitan tender RM8.7 juta untuk menaik taraf Pusat Skuasy Kebangsaan Bukit Jalil.

Iliyas Jamil, 42, mengaku tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Menurut pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta rasuah berjumlah RM1 juta untuk dirinya daripada Yap Yeow Kuen, 60, di pejabat PSM, Tingkat 2, Stadion Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Sri Petaling pada 24 Februari.

Wang tersebut merupakan rasuah untuk membolehkan tertuduh bersetuju memilih Aerolux Power Constructions Sdn Bhd untuk memenangi tender bagi Menaik Taraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Kebangsaan, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil yang bernilai RM8,733,197.

Pertuduhan itu dibawa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, Iliyas didakwa menerima rasuah tunai sebanyak RM450,000 daripada Yap sebagai ganjaran untuk memilih Aerolux Power Constructions memenangi tender projek tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di pejabat PSM dan sebuah restoran di Sri Petaling, antara 25 Februari dan 13 April, di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24(1) yang sama.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Noralis Mat sementara tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Terdahulu, Noralis menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, mengambil kira status tertuduh dan keseriusan kesalahan.

“Kami juga meminta syarat tambahan, iaitu dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Mohd Yusmadi, di pihaknya, memohon jaminan antara RM50,000 hingga RM80,000, memandangkan kliennya masih muda, mempunyai anak yang masih bersekolah dan kini telah digantung tugas.

Suzana membenarkan Iliyas dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin Malaysia dan membenarkan syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan, termasuk tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 27 Julai untuk sebutan dan penyerahan dokumen. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here