Home Ekonomi Ketua MAG, Nasaruddin dilantik ke Lembaga Gabenor IATA bagi tempoh tiga tahun

Ketua MAG, Nasaruddin dilantik ke Lembaga Gabenor IATA bagi tempoh tiga tahun

5
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar, telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-82 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

Menerusi satu kenyataan, MAG memaklumkan Nasaruddin akan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun sehingga 2029, menyertai barisan pemimpin industri penerbangan global lain dalam memberikan panduan strategik serta hala tuju dasar bagi IATA, yang mewakili lebih 370 syarikat penerbangan merangkumi kira-kira 85 peratus trafik udara dunia.

Dalam peranan ini, beliau akan menyumbang dalam membimbing jawatankuasa industri dan badan-badan subsidiari IATA dalam menangani isu kritikal yang membentuk masa depan penerbangan antarabangsa.

Mengulas pelantikan tersebut, Pengarah Bukan Eksekutif MAG dan Malaysia Airlines Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pemilihan Nasaruddin adalah pengiktirafan kepada kepakaran mendalam, kepimpinan serta sumbangan jangka panjang beliau dalam industri penerbangan.

“Saya yakin beliau akan membawa pandangan dan pengalaman berharga kepada lembaga IATA, sekali gus memperkukuh suara Malaysia di peringkat antarabangsa serta membantu kemajuan berterusan industri ini,” katanya.

Sementara itu, Nasaruddin berkata beliau berbesar hati untuk bekerjasama dengan ahli lembaga lain dalam memperkukuh daya tahan industri, mempercepatkan inovasi serta memacu masa depan pengangkutan udara yang lebih lestari dan saling berhubung di seluruh dunia.

Untuk rekod, Nasaruddin juga kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik dan ahli lembaga tadbir urus oneworld. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here