KUALA LUMPUR, 9 Jun — Peminat permainan video pasti teruja apabila Capcom Co Ltd, syarikat pembangun dan penerbit permainan terkemuka Jepun, mengumumkan pelancaran Resident Evil: Veronica, karya terbaharu dalam siri legenda survival horror itu, yang dijadualkan menemui peminat pada tahun 2027.
Permainan yang dinanti-nantikan ini merupakan versi penambahbaikan kepada Resident Evil Code: Veronica yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2000 dan kekal sebagai antara episod kegemaran dalam francais tersebut.
Menurut kenyataan Capcom, versi baharu ini akan mengekalkan tarikan asal permainan tersebut selain memperkenalkan jalan cerita yang diolah semula serta grafis yang dipertingkatkan menerusi enjin permainan eksklusif syarikat itu, RE ENGINE.
Capcom turut memaklumkan bahawa projek remake ini dibangunkan untuk memperkukuhkan lagi francais Resident Evil, dengan sasaran menarik minat peminat sedia ada serta menarik perhatian generasi baharu pemain.
Maklumat lanjut termasuklah tarikh pelancaran rasmi akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Siri permainan Resident Evil terkenal sebagai permainan survival horror di mana pemain perlu menggunakan pelbagai senjata dan barangan untuk mengharungi pelbagai bahaya serta menghadapi musuh yang mengancam.
Rekod jualan terkini menunjukkan siri Resident Evil telah terjual lebih 201 juta unit di seluruh dunia sehingga 31 Mac 2026, sejak pelancaran pertamanya pada tahun 1996.
Ditubuhkan pada 1983, Capcom kekal sebagai antara penerbit terunggul dalam industri permainan video dengan ratusan judul dihasilkan sepanjang penubuhannya.
Syarikat itu turut memberi jaminan untuk meneruskan komitmen memperkaya pengalaman hiburan digital menerusi kepakaran pembangunan permainan demi kepuasan pemain di seluruh dunia. — Bernama









