Home Ekonomi Piala Dunia 2026 lonjak dagangan digital, aktiviti perniagaan Malaysia – Bank of...

Piala Dunia 2026 lonjak dagangan digital, aktiviti perniagaan Malaysia – Bank of America

7
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Malaysia dijangka meraih pelbagai manfaat daripada penganjuran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal bermula minggu ini, terutamanya dalam aspek ekonomi digital, penggunaan media, pembayaran, logistik serta perniagaan rentas sempadan, kata seorang tokoh perbankan antarabangsa hari ini.

Pengarah Eksekutif Bank of America Malaysia, Gautam Puntambekar, berkata limpahan aktiviti ekonomi serta peluang baharu kepada Malaysia dan negara-negara ASEAN dijangka terhasil daripada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak AS$41 bilion (AS$1 = RM4.06) dan penciptaan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia berikutan penganjuran kejohanan bola sepak terulung itu.

Bercakap kepada Bernama dalam satu wawancara maya dari New York, beliau menegaskan bahawa kesan gandaan Piala Dunia ini bukan sahaja terhad kepada pelancongan, hospitaliti atau penjualan tiket, malah ia turut memacu perbelanjaan dan aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor, sekali gus memperkukuh keterhubungan global serta membuka lebih banyak peluang perdagangan antarabangsa.

Kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat dan buat julung kalinya menampilkan 48 pasukan bertanding, berbanding 32 sebelum ini.

Bank of America turut mencatat sejarah sebagai penaja rasmi bank pertama untuk edisi ke-23 Piala Dunia FIFA ini.

Argentina merupakan juara bertahan kejohanan, manakala perlawanan pembukaan dijadualkan berlangsung di Mexico City membabitkan Mexico menentang Afrika Selatan pada 11 Jun. Di Malaysia, waktu sepak mula dijangka jatuh pada hari Jumaat, 12 Jun memandangkan perbezaan waktu 14 jam dengan Amerika Selatan.

Walaupun terdapat jarak geografi dan perbezaan zon waktu, Puntambekar percaya peluang untuk Malaysia dan negara-negara ASEAN kekal signifikan kerana minat terhadap bola sepak amat kukuh, biarpun tiada wakil ASEAN layak ke kejohanan kali ini.

“Sebagai peminat tegar Argentina dan pemain sensasinya, Lionel Messi, saya akui usaha mempertahankan kejuaraan buat Argentina bukan mudah, namun saya tetap menaruh harapan agar mereka akan muncul juara sekali lagi,” katanya.

Puntambekar turut menjelaskan dalam ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) masa kini, Piala Dunia membuka permintaan dalam pelbagai kategori – dari penggunaan kandungan media, produk pengguna, pemasaran, perkhidmatan penukaran wang asing, infrastruktur data hingga ke rantaian bekalan; semuanya mendapat lonjakan hasil daripada penglibatan peminat, kempen komersial dan peningkatan transaksi digital.

“Hari ini, peminat berupaya menonton perlawanan bukan hanya di kaca televisyen, malah terus ke peranti mudah alih mereka. Gabungan antara budaya peminat, tontonan secara sosial dan penglibatan digital ini menyebabkan manfaat Piala Dunia dapat dirasai dalam aspek penggunaan media, perdagangan digital, nilai penajaan serta pembayaran rentas sempadan — biarpun di negara yang jauh daripada lokasi kejohanan,” jelasnya.

Ekonomi Digital dan Trend Industri Bola Sepak

Puntambekar menambah, impak Piala Dunia kini melangkaui arena sukan semata-mata, sebaliknya menunjukkan peranan penting teknologi seperti ketahanan siber, AI, identiti digital, infrastruktur awan dan analisis data masa nyata dalam landskap perniagaan moden.

“Piala Dunia adalah demonstrasi langsung bagaimana komersial, teknologi dan budaya boleh bergerak seiring arah,” katanya.

Menurut Research and Markets dari Ireland, pasaran bola sepak global dianggarkan bernilai AS$3.5 bilion pada 2025 dan dijangka mencecah AS$4.8 bilion menjelang 2034, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 3.32 peratus antara 2026 hingga 2034.

Menyorot konteks bola sepak tempatan, Puntambekar memaklumkan bahawa Liga Super Malaysia mencatat pertambahan tontonan melebihi 20 peratus dalam dua musim terakhir, menghampiri 24 juta tontonan, didorong oleh kumpulan peminat setia seramai 8.2 juta, sekaligus membuktikan kecintaan rakyat Malaysia terhadap bola sepak tempatan terus utuh.

Mengambil kira perkembangan ini, Bank of America melihat penajaan bersama FIFA sebagai platform memperkukuh infrastruktur kewangan untuk salah satu acara sukan terbesar dunia.

“Sebagai penaja rasmi FIFA, kami bukan sahaja memberi fokus kepada penjenamaan, malah memberi impak kepada masyarakat melalui sokongan terhadap infrastruktur kewangan dan membantu menghubungkan peminat dengan kejohanan menerusi pengalaman yang bermakna,” katanya.

Perkukuh Infrastruktur Pembayaran Global

Puntambekar berkongsi bahawa platform pembayaran global Bank of America direka untuk menyokong skala dan kompleksiti acara sebesar ini, merangkumi operasi di lebih 230 negara dan wilayah, memproses transaksi dalam 140 mata wang dan mengurus sekitar AS$1.6 trilion pembayaran setiap hari.

“Bagi acara global sebesar ini, kejayaannya amat bergantung kepada ketahanan sistem pembayaran, perkhidmatan pertukaran mata wang asing, kesalinghubungan perbendaharaan dan jaminan keselamatan pengalaman digital pelanggan.

“Semua ini sejajar dengan solusi pembayaran global Bank of America yang menawarkan satu platform dengan ciri keselamatan dan kawalan akses mantap, sambungan API serta keupayaan pembayaran rentas sempadan secara masa nyata,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Bank of America membantu pelanggan dan rakan usaha niaga mengurus pemindahan wang secara selamat, mengawal risiko dan meningkatkan kecekapan transaksi sejajar dengan permintaan transaksi rentas sempadan yang kian meningkat.

“Malaysia boleh mengambil iktibar dan pengalaman ini untuk terus mengukuhkan dan memperkasakan infrastruktur digital negara,” tambahnya. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here