Suasana sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, memilih pendekatan luar biasa ketika membangkitkan isu jerebu rentas sempadan.
Menyedari rungutan diplomatik sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan, beliau secara bersahaja memohon izin dewan untuk bersuara dalam bahasa Jawa.
Tindakan ini diambil secara sinis kerana menurutnya, barisan kepimpinan di seberang sana yang kebanyakannya berbangsa Jawa mungkin lebih faham jika ditegur menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.
Mesej Terus Buat Pak Prabowo
Ucapan yang santun tetapi pedas itu ditujukan secara langsung kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Assalamualaikum Pak Prabowo, pripun kabare? Paringi waras nggih? Kulo arep ngomong soal kabut asep sing saben taun kok meneh songko Indonesia nganti Malaysia,” ujar Kalam di hadapan mikrofon dewan.
Beliau membawa suara rakyat marhaen yang terpaksa menanggung perit tekak, sesak nafas, penutupan sekolah serta sektor perniagaan yang terjejas setiap kali musim kebakaran hutan tiba.
Kalam turut membuka mata ramai mengenai nasib warga Indonesia yang bekerja di ladang-ladang sekitar Malaysia yang terputus rezeki apabila operasi terhenti akibat asap tebal.
Beliau juga menolak kenyataan segelintir pihak di seberang yang bergurau meminta Malaysia bersyukur menerima oksigen dari hutan mereka, sambil menegaskan hutan Malaysia juga mengeluarkan oksigen dan bukannya pokok plastik.
Pujian Disulami Rasa Malu Rakyat Seberang
Rakaman perbahasan itu pantas meledak di media sosial dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Indonesia sendiri.
Menariknya, mereka tidak melatah, sebaliknya berterima kasih atas ketegasan wakil rakyat Malaysia tersebut.
“Prabowo dikasih faham bahasa Jawa oleh Parlimen Malaysia. Ini bukan lagi diplomasi, ini tamparan. Terima kasih MP Sabak Bernam,” luah salah seorang pengguna Threads di republik itu.
Namun, di sebalik pujian tersebut terselit rasa malu yang menebal. Mereka menyifatkan situasi ini sebagai satu tamparan hebat kepada ahli dewan perwakilan mereka sendiri yang dilihat lesu dan gagal bersuara memperjuangkan isu alam sekitar yang turut memudaratkan rakyat tempatan.
Langkah santun Kalam Salan ini membuktikan bahawa hak untuk menghirup udara bersih melangkaui batas politik dan sempadan. Menggunakan bahasa yang dekat di hati ternyata jauh lebih berkesan untuk menyampaikan derita rakyat yang sudah letih berdepan krisis sama setiap tahun.
#Tindakan #Berani #Sabak #Bernam #Bersuara #Isu #Jerebu #Guna #Bahasa #Jawa #Pukau #Rakyat #Seberang








