Jika dahulu, sebut sahaja mengenai makanan di hospital kerajaan, pasti ramai membayangkan sup kosong atau sayur rebus yang tawar.
Namun, persepsi itu kini berubah apabila orang ramai mula berkongsi pengalaman menikmati juadah hospital awam yang menyelerakan, malah disamakan seperti hidangan hotel.
Perbualan ini tercetus selepas seorang guru, Saffuan Jaffar memuat naik foto hidangan yang diterimanya ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ke platform Threads menerusi akaun @saffuan_9w2sfj. Hantaran itu tular hingga meraih ratusan ribu tontonan.

Beliau berkongsi gambar set hidangan lengkap Nasi Dalcha, dan berlaukkan sup panas dengan kapsyen berseloroh. “Patutlah aku makin gemuk. Semuanya sedap,” guraunya di ruangan balas.

Hidangan Wad Bersalin Jadi Tumpuan
Perkongsian tersebut membuka ruang buat ratusan bekas pesakit tampil berkongsi pengalaman masing-masing.
Paling mencuri tumpuan ialah perkongsian daripada para ibu yang bersalin di hospital kerajaan dan universiti awam.

Pengguna @raihan_yussuf, berkongsi menu ala Barat iaitu spageti bolognese dan hidangan pasta bersama ayam ketika di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Melihat gambar sajian itu, warganet @fatma3819wati meluahkan rasa kagumnya. “Mak aih, macam bersalin dalam hotel,” komennya ringkas.
Pengalaman serupa dikongsi @nadzirahzakariya di Hospital Ampang yang menerima set hidangan ayam panggang bersos bersama kentang goreng.
“Makanan masa tengah tunggu nak bersalin di Hospital Ampang memang sedap-sedap, tapi takkanlah nak kena bersalin lagi semata-mata nak rasa makanan hospital lagi, ya tidak?” selorohnya.
Enak Di Seluruh Negara

Pujian demi pujian turut diberikan terhadap fasiliti kesihatan awam di seluruh negara. Di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, pengguna @izzatinasrun memuji nasi lemak lengkap dengan sambal dan telur rebus yang dihidangkan panas-panas.
Bagi @chetenramli dari Hospital Serdang pula, biarpun tampil ringkas, rasa sup cendawannya tetap menambat selera. Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) Kajang, Hospital Selayang, Hospital Shah Alam serta Hospital Sungai Buloh turut menerima pengiktirafan bekas pesakit atas keenakan makanan mereka.
Malah, @mogesshinidk berkongsi suaminya menolak makanan dari luar kerana berpuas hati dengan sajian Hospital Pulau Pinang.
Pengubat Jiwa Waktu Sakit
Di sebalik pujian hidangan, terselit kisah menyentuh hati di mana sajian berkhasiat menjadi pengubat jiwa pesakit. Pengguna @azreenahmadd mengimbau rawatan kemoterapinya dahulu di mana petugas memberikan menu pilihan setiap hari.
“Setiap hari sarapan pagi dapat telur hancur, roti dan jem. Tinggal tiada sosej sahaja, kalau tidak sudah jadi set sarapan pagi ala Amerika,” kongsinya.
Bagi seorang ibu, @syura6433, pengalaman menjaga anak yang menghidap asma di wad menjadi lebih tenang apabila mereka berdua diberikan bahagian makanan masing-masing secara teratur.
“Jaga anak sahaja, makan cukup masa sampai dan sedap-sedap pula itu. Alhamdulillah, nikmat di sebalik ujian,” luahnya.
Ruangan balas turut dipenuhi jenaka warganet yang mengakui sering menghabiskan makanan ahli keluarga yang sakit. Di hujung perbualan, orang ramai diingatkan untuk sentiasa bersyukur dengan kemudahan perubatan dan sajian berkhasiat di hospital kerajaan berbanding kos tinggi di negara lain.
#Masih #Panas #Dan #Menyelerakan #Ramai #Puji #Makanan #Hospital #Kerajaan #Kini #Setanding #Hotel








