Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Syed Ibrahim Syed Noh menyatakan fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu dijangka beransur pulih dalam tempoh dua minggu akan datang berikutan perubahan corak tiupan angin.
Beliau menjelaskan, Malaysia telah memasuki fasa peralihan monsun pada 9 Oktober dan Monsun Timur Laut dijangka bermula menjelang akhir bulan ini, petik Free Malaysia Today.
Walau bagaimanapun, Syed Ibrahim menegaskan bahawa perubahan cuaca semata-mata tidak boleh dijadikan sandaran sebagai penyelesaian jangka panjang memandangkan krisis jerebu berisiko berulang kembali.
“Usaha pencegahan kebakaran perlu menangani masalah dari puncanya. Penguatkuasaan domestik mesti diperkukuh, manakala kerjasama di peringkat serantau perlu ditingkatkan bagi mengurangkan risiko kejadian serupa berulang,” kata beliau semasa sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menyifatkan bencana jerebu sebagai krisis nasional yang memberi impak serius terhadap kesihatan awam, keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Isu berkenaan turut disuarakan oleh Dr. Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).
Memetik Free Malaysia Today, Dr. Kelvin menegaskan krisis itu bukan lagi sekadar gangguan bermusim, sebaliknya merupakan kecemasan tahunan yang memerlukan tindakan lebih tegas.
Beliau turut menggesa penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan serta ketelusan yang lebih tinggi dalam perkongsian data titik panas (hotspot) dan maklumat konsesi ladang.
Mengulas lanjut mengenai punca kejadian, Syed Ibrahim memberitahu bahawa episod jerebu terkini berpunca daripada peningkatan kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia, terutamanya di Kalimantan dan Sumatera, yang menjejaskan kualiti udara negara, khususnya di Sarawak.
“Cabaran utama dalam menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan elemen rentas sempadan adalah mendapatkan bukti yang mencukupi bagi membuktikan punca pencemaran dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” jelas beliau.
Mengulas dakwaan penglibatan syarikat berkaitan Malaysia dalam pembakaran terbuka di negara jiran, Syed Ibrahim mengesahkan kementeriannya belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu daripada Kementerian Luar Negeri mahupun Kementerian Perladangan dan Komoditi.
#Krisis #Jerebu #Dari #Indonesia #Dijangka #Pulih #Minggu #Lagi








