Dapat sebulan sekali pun sudah mencukupi.
Ini bukanlah cadangan yang remeh. Banyak negara kini sedang meneroka model kerja yang lebih fleksibel, seperti minggu kerja pendek, compressed work week, atau extended weekend.
Contohnya, di Iceland, pengurangan waktu kerja terbukti mampu mengekalkan, malah meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan, di samping meningkatkan kesejahteraan pekerja dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Sementara itu, di UK, percubaan minggu kerja 4 hari melibatkan 61 syarikat dengan kira-kira 2,900 pekerja menunjukkan bahawa ramai pekerja mengalami pengurangan stres dan burnout.
Belgium juga memberi peluang kepada pekerja untuk memohon bekerja selama 4 hari seminggu menggunakan konsep compressed hours, membenarkan mereka menyusun jadual kerja dengan lebih fleksibel.
Di Sharjah, UAE, pelaksanaan minggu kerja 4 hari dalam sektor kerajaan dilaporkan membawa impak positif kepada kepuasan kerja, produktiviti, keseimbangan hidup, dan kesihatan mental pekerja.
Untuk Malaysia, belum tentu kita perlu terus ke arah minggu kerja 4 hari.
Namun, satu hujung minggu yang dipanjangkan sebulan sekali akan memberikan makna yang besar kepada ramai.
Satu hari tambahan untuk pulang ke kampung.
Satu hari tambahan untuk menguruskan rumah.
Satu hari tambahan untuk anak-anak.
Satu hari tambahan untuk fikiran yang terlalu lama dibebani.
Kadang-kadang, produktiviti tidak datang daripada mengepam tenaga seseorang sehingga habis.
Ia datang daripada individu yang diberi ruang untuk pulih, lalu kembali bekerja dengan semangat yang lebih tenang.






