Pernahkah anda perasan sejak kebelakangan ini, ruang komen di platform media sosial seperti TikTok, X, dan Threads sering dipenuhi dengan kata-kata kesat dan provokasi melampau dari akaun negara jiran?
Hati kita pantas berasap membaca hinaan yang dilontarkan bertubi-tubi. Namun, tahukah anda bahawa kemarahan anda itu sebenarnya sedang memenuhkan poket pihak tertentu dengan bayaran serendah 11 sen sahaja?
Realiti Pekerjaan Bergelar Buzzer
Menerusi pendedahan tular oleh netizen di aplikasi Threads, wujud satu kumpulan terancang yang digelar oleh mereka sebagai buzzer.
Tugasan kumpulan ini sangat mudah, iaitu menyebarkan hantaran kebencian secara sengaja untuk mencipta ketegangan antara dua buah negara.
Seorang pengguna tampil mendedahkan tangkap layar dari sebuah aplikasi sembang yang memaparkan arahan tugasan beserta senarai upah.

Sangat mengejutkan, nilai untuk satu komen provokasi yang mereka tinggalkan cumalah 500 Rupiah, atau bersamaan dengan 11 sen wang kita. Walaupun nilainya nampak kecil, bayangkan jumlahnya jika beribu-ribu komen ditinggalkan dan mendapat reaksi balas setiap hari.
Taktik Licik Mengalihkan Perhatian
Mengapa perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan berskala besar? Seorang pengguna media sosial tempatan yang peka telah merisik perkara ini daripada kenalannya di negara seberang.
Hasilnya mendapati, ia adalah satu taktik terancang untuk mengalihkan pandangan rakyat negara mereka sendiri daripada isu-isu dalaman kerajaan yang sedang mendesak.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menutup mata awam berkenaan isu jerebu sebenar yang sedang melanda Kalimantan.
“Nak tahu kenapa setiap kali posting, dia sebut nama negara kita dengan perkataan menghina? Sebab mereka ni dibayar dan setiap kali orang balas komen dia, dia akan dapat bayaran lagi tinggi,” kongsi pengguna tersebut di ruangan Threads.
Lebih licik lagi, ada tangkap layar mendedahkan wujudnya akaun dari negara sana yang sengaja menyamar menjadi orang kita, semata-mata untuk memulakan pergaduhan dan melaga-lagakan keadaan.

Hakikatnya, semakin banyak kita marah dan membalas komen mereka, semakin lebatlah pendapatan yang mereka jana dari interaksi percuma tersebut.
Malah, wujud dakwaan mereka berupaya menjana pendapatan sehingga mampu memiliki kereta yang relatifnya dikira mahal di negara itu.
Kempen Sidai dan Kuasa Memulau

Menyedari taktik kotor ini, rakyat kita kini mengambil pendekatan yang lebih matang dan tidak lagi mahu berdiam diri. Namun, bukan dengan cara membalas makian, sebaliknya dengan melancarkan kempen kesedaran di seluruh platform.
Poster-poster digital mula tersebar luas dengan mesej yang sangat jelas, jangan beri sebarang reaksi.
Kempen sidai dan palau kini menjadi perisai baharu netizen kita. Laungan amaran seperti jangan bagi engagement percuma telah menjadi peringatan harian sesama kita.
Apabila kita tidak melayan, tidak membalas komen, dan sekadar menekan butang lapor, rancangan mereka untuk meraih duit mudah akan gagal sepenuhnya.
Sebagai pengguna internet yang rasional, kita tidak seharusnya mudah melatah dengan umpan emosi murahan ini. Tenang sahaja dan biarkan mereka bertepuk sebelah tangan. Jaga kesihatan mental anda dan jangan sesekali biarkan emosi serta maruah kita diperdagangkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan harga cuma 11 sen.
#Jangan #Layan #Dia #Dapat #Duit








