Home Hiburan Bomba Bergegas 59KM Ke Lokasi: Ustaz Wadi Annuar Cedera Ringan, Stabil

Bomba Bergegas 59KM Ke Lokasi: Ustaz Wadi Annuar Cedera Ringan, Stabil

2
0

Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar, dilapor mengalami kecederaan selepas Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik, awal pagi tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 2.40 pagi itu turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan Perodua Bezza.

Keseluruhannya, seramai lima mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala lima lagi terselamat tanpa sebarang kecederaan, petik Harian Metro.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi.

“Anggota bomba tiba di lokasi terletak 59 kilometer dari balai bomba pada jam 3.42 pagi.

“Kami mendapati kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang di bahu jalan. Seorang lelaki berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta itu manakala pemandunya berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, seorang lagi penumpang lelaki berusia 24 tahun yang berada di bahagian belakang kereta Myvi berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Mengulas mengenai keadaan penumpang di dalam MPV Toyota Vellfire, Sabarodzi memberitahu kenderaan itu dinaiki oleh empat orang individu.

“Sementara itu terdapat empat penumpang di dalamnya MPV Toyota Vellfire. Dua daripadanya cedera dan dua lagi terselamat. Kesemua mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Myvi dan dua penumpang MPV yang cedera dibawa ke Hospital Gerik menaiki ambulans dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk menerima rawatan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, tiga individu yang menaiki kereta Perodua Bezza disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, kenderaan berkenaan sudah tidak berada di lokasi kejadian sewaktu pihak bomba tiba kerana pemandunya telah menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Operasi menyelamat yang melibatkan seramai 10 anggota bersama tiga jentera dari BBP Gerik itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.39 pagi.

#Bomba #Bergegas #59KM #Lokasi #Ustaz #Wadi #Annuar #Cedera #Ringan #Stabil

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here