BYD Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Darby Bhd, sebagai rakan kongsi pemasangan tempatan bagi operasi kenderaan terurai sepenuhnya (CKD) yang dirancang di negara ini.
Memetik The Edge Malaysia, kerjasama tersebut telah dimeterai menerusi pengoperasian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China.
Pelantikan syarikat yang beroperasi di Kulim, Kedah itu dibuat susulan penilaian menyeluruh terhadap keadaan pasaran tempatan serta keupayaan pembuatan sedia ada. Kemudahan, tenaga kerja, dan rangkaian bekalan Inokom dilihat berupaya menyokong kelancaran operasi pemasangan yang diatur.
Langkah ini menyusul selepas laporan sebelum ini yang menyatakan BYD membatalkan hasrat untuk membina kilang pemasangan baharu di Tanjung Malim, Perak. Keputusan itu difahamkan berpunca daripada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di mana sehingga 80 peratus daripada kenderaan yang dihasilkan perlu dieksport, manakala baki 20 peratus lagi ditetapkan pada harga melebihi RM200,000 sesebuah.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, menegaskan bahawa pemasangan tempatan merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat tersebut di Malaysia.
“Pemasangan tempatan adalah bahagian penting daripada komitmen jangka panjang BYD di Malaysia. Kerjasama dengan Sime Darby untuk melakukan pemasangan di Inokom membolehkan kami memanfaatkan keupayaan pembuatan automotif yang sedia ada seiring dengan perkembangan rancangan pemasangan tempatan kami,” kata Jacob Ma.
“Kami berhasrat untuk membawa kepakaran BYD dalam kenderaan tenaga baharu (NEV) serta teknologi bateri lebih dekat kepada pasaran Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan berterusan industri automotif tempatan,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson, menyuarakan optimisme bahawa jalinan kerjasama ini berupaya mengukuhkan ekosistem automotif negara.
“Kerjasama ini mampu mengukuhkan ekosistem automotif tempatan, menyokong perniagaan serta memantapkan lagi keupayaan pembuatan Malaysia,” katanya.
Majlis menandatangani MoU berkenaan disempurnakan oleh Naib Presiden BYD, Liu Xueliang, dan Jeffri Salim Davidson, sambil disaksikan oleh Jacob Ma serta Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan.
Walau bagaimanapun, maklumat terperinci berhubung model kenderaan yang bakal dipasang serta jadual garis masa pengeluaran masih belum diumumkan oleh mana-mana pihak buat masa ini.
#Batal #Pelan #Tanjung #Malim #BYD #Lantik #Inokom #Rakan #Pemasangan #CKD #Rasmi #Kulim








