Skuad futsal Malayan Tigress telah memulakan sesi latihan pusat di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebagai persiapan untuk menyertai acara Futsal Wanita pada Sukan SEA 2025 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand antara 12 hingga 18 Disember 2025.
Dalam pelaksanaan sesi latihan ini, seramai 22 pemain telah dipilih oleh ketua jurulatih, Edgar Eder Baldasso dari Brazil, untuk menyertai kem latihan yang akan berlangsung selama tiga minggu. Pasukan akan berangkat ke Bangkok pada 5 Disember untuk menyelesaikan persiapan, termasuk beberapa perlawanan persahabatan.
Sukan Futsal Wanita di Sukan SEA 2025 akan melibatkan enam pasukan. Kumpulan A terdiri daripada tuan rumah Thailand, Malaysia, dan Filipina, manakala Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Myanmar, dan Indonesia.
Dalam Kumpulan A, perlawanan pertama akan menyaksikan Thailand berhadapan dengan Filipina pada Jumaat, 12 Disember 2025. Ini diikuti oleh pertemuan Filipina menentang Malaysia pada Sabtu, 13 Disember 2025, dan perlawanan terakhir Kumpulan A yang menyaksikan Malaysia berdepan Thailand pada Ahad, 14 Disember 2025.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan, juara dan naib juara Kumpulan A dan B, akan mara ke peringkat separuh akhir pada Selasa, 16 Disember 2025. Perlawanan bagi penentuan pingat gangsa serta final akan berlangsung pada Khamis, 18 Disember 2025.
Semua perlawanan dijadualkan untuk diadakan di Stadium BTU Hall, Bangkok Thonburi University, Bangkok.
Sebagai makluman, skuad futsal Malayan Tigress pernah meraih pingat gangsa pada dua edisi Sukan SEA sebelumnya, iaitu di Myanmar pada tahun 2013 dan di Vietnam pada tahun 2021.
#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2025
Source





