Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ASEAN untuk memajukan bola sepak di kawasan tersebut.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, mewakili ASEAN dalam penandatanganan itu yang dilakukan di hadapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN. Majlis berlangsung di ibu negara semalam bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Majlis FIFA yang juga Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, dan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
MoU ini dianggap sebagai langkah strategik dalam usaha menjadikan rantau ASEAN sebagai kuasa bola sepak yang dihormati di seluruh dunia.
Dalam majlis itu juga, Infantino mengumumkan pelancaran kejohanan Piala ASEAN FIFA yang akan melibatkan semua 11 negara anggota ASEAN, menjadikannya acara bola sepak serantau terbesar di bawah naungan FIFA, dengan format yang terinspirasi daripada kejayaan Piala Arab FIFA.
Infantino menyatakan bahawa kejohanan ini ditubuhkan untuk memberikan semangat baru kepada bola sepak di rantau ini serta menjadi lambang penyatuan negara-negara ASEAN melalui sukan yang paling popular di dunia.
#FAM #HarimauMalaya #FIFA #ASEAN
Source





