Home Lifestyle Memahami Suara Hati: Mengatasi Depresi Dalam Kehidupan Berkahwin

Memahami Suara Hati: Mengatasi Depresi Dalam Kehidupan Berkahwin

4
0


Baru-baru ini, kami menerima aduan daripada seorang isteri yang berdepan depresi berat dan berfikir untuk mengakhiri hidupnya setelah mengetahui suaminya curang dengan rakan sekerja.

Bagi pengadu serta sesiapa yang sedang mengalami situasi coklat ini, perasaan sakit yang anda lalui adalah sangat nyata.

Kecurangan bukanlah semata-mata “kecuaian”. Dari perspektif psikologi, ia merupakan satu bentuk penderaan emosi yang meruntuhkan keselamatan mental pasangan. Fenomena ini dikenali sebagai Trauma Pengkhianatan (Betrayal Trauma).

Jika anda berjuang dengan kesedihan akibat daripada kecurangan pasangan, ingatlah bahawa rasa sakit yang anda rasakan itu valid. Kecewa, kemarahan, hilang harga diri, dan ketidakberdayaan adalah reaksi biasa dari otak yang mengalami trauma.

Mengapa Sempadan di Tempat Kerja Sangat Penting?
Kebanyakan kecurangan di tempat kerja tidak bermula di hotel, tetapi di ruang pantri, melalui perbualan di WhatsApp di luar jam kerja, makan berdua, dan berkongsi masalah peribadi dengan rakan sekerja berlainan jantina. Apabila sempadan profesional dilanggar, simpati boleh berubah kepada hubungan emosi yang mendalam.

Sekiranya anda memutuskan untuk MENETAP dalam perkahwinan dan berhasrat untuk pulih, berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil:

1. Elakkan Menyalahkan Diri Sendiri
Kecurangan adalah pilihan sedar (conscious choice) yang dibuat oleh pasangan anda. Ia bukan kesalahan anda dan tidak ada kaitan dengan penampilan atau layanan yang diberikan.

2. Tetapkan Prinsip Ketelusan Penuh (Radical Honesty)
Untuk membina kembali kepercayaan, pasangan yang curang perlu bersikap terbuka sepenuhnya. Tiada lagi rahsia, dan mereka mesti memutuskan hubungan dengan pihak ketiga segera.

3. Rujuk kepada Kaunseling Perkahwinan dan Terapi Trauma
Trauma pengkhianatan tidak akan sembuh hanya dengan kata maaf. Kaunselor Perkahwinan berdaftar diperlukan, dan anda juga mungkin memerlukan terapi untuk mengatasi simptom PTSD dan depresi.

4. Beri Diri Masa untuk Berduka
Jangan terburu-buru untuk memaafkan dan melupakan. Anda berhak untuk merasa semua emosi negatif. Proses pemulihan mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun.

Talian Bantuan Anda:
Jika beban ini terasa terlalu berat dan anda mempertimbangkan untuk mengakhiri hidup, tolong ingat bahawa anda berharga. Sila hubungi salah satu talian di bawah untuk mendapatkan sokongan emosi yang rahsia dan percuma:
– Talian Heal: 15555
– Talian Kasih: 15999
– Befrienders KL: 03-76272929
– MIASA (Mental Illness Awareness and Support Association): 1800-1800-66

Penyembuhan adalah mungkin, sama ada anda memilih untuk terus bersama atau pergi. Dapatkan bantuan profesional hari ini.

Kongsikanlah posting ini agar lebih ramai orang menyedari betapa pentingnya menjaga sempadan pergaulan di tempat kerja.

#PublicHealthMalaysia #KesihatanMental #TraumaKecurangan #BetrayalTrauma #Depresi #SempadanTempatKerja #Befrienders #TalianKasih


Source

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here