Baru sahaja bergelar suami isteri, anda mungkin mengalami rasa pedih dan sakit ketika buang air kecil. Adakah ini satu keadaan yang biasa?
Keadaan ini dikenali sebagai Honeymoon Cystitis atau radang pundi kencing, yang sering menimpa pasangan pengantin baru tetapi jarang dibincangkan kerana rasa malu.
Dari sudut perubatan, ia adalah bentuk Jangkitan Saluran Kencing (UTI). Kenapa keadaan ini sering terjadi kepada pasangan baru berkahwin?
-
Faktor Geseran Mekanikal
Aktiviti seksual yang lebih kerap dalam masa singkat boleh menyebabkan kecederaan atau melecet pada saluran urethra wanita. Keadaan ini boleh menjadi lebih serius jika berlaku kekurangan pelincir semula jadi atau tidak menggunakan pelincir tambahan, yang dapat menyebabkan geseran yang menyakitkan. -
Pemindahan Bakteria
Dengan saluran urethra yang lebih pendek dan dekat dengan kawasan dubur, wanita berisiko tinggi untuk bakteria (biasanya E. coli) masuk ke dalam saluran kencing semasa hubungan intim dan seterusnya ke pundi kencing. -
Menahan Kencing
Banyak pasangan melakukan kesilapan dengan terus tidur selepas hubungan, yang memberi ruang kepada bakteria untuk membiak di dalam pundi kencing.
Cara Mencegah Tanpa Harus Berpantang:
-
Kencing Selepas Hubungan (Wajib)
Ini adalah langkah penting. Membuang air kecil selepas hubungan intim boleh bertindak sebagai ‘pembilas’ yang mengeluarkan bakteria dari saluran urethra. -
Kekalkan Hidrasi
Minum banyak air kosong. Kekerapan kencing yang tinggi membantu membersihkan saluran kencing daripada bakteria. -
Gunakan Pelincir
Elakkan daripada memaksa jika kering. Penggunaan pelincir berasaskan air dapat mengurangkan risiko luka kecil pada dinding faraj dan urethra.
Jika anda mengalami kesakitan yang teruk, kerap kencing tetapi sedikit, atau kencing berdarah, segera dapatkan nasihat doktor untuk rawatan antibiotik. Pastikan bulan madu anda tidak berakhir di klinik.






