Penyanyi dan isteri kepada pelakon Fattah Amin, Amira Othman, mengumumkan bahawa beliau tidak dapat menemani suaminya ke Korea disebabkan kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.
Amira berkongsi perkara ini dalam satu posting di media sosialnya, di mana beliau menjelaskan bahawa beliau telah memujuk Fattah untuk tetap berangkat bagi memastikan jadual kerja pasukan Rissa tidak terjejas.
“Saya pujuk dia untuk terbang juga sebab kesian pada team Rissa yang sudah membuat persiapan. Terima kasih kepada kawan saya yang teman tidur di hospital semalam. Hati-hati dan selamat berseronok di Korea. Saya sedih tidak dapat terbang,” tulisnya.
Menurut Amira, tiga doktor pakar yang ditemui menasihatkan agar beliau tidak terbang dalam waktu terdekat disebabkan cuaca sejuk di Korea yang mungkin akan memburukkan keadaan kesihatannya.
“Ketiga-tiga doktor yang saya jumpa menyarankan agar saya tidak terbang buat masa ini kerana cuaca di sana yang sejuk,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Fattah Amin memaklumkan bahawa isterinya sedang menerima rawatan di hospital. Dalam satu perkongsian di Instagram Stories, pelakon Pendekar Awang itu memuat naik gambar katil hospital dan meminta agar orang ramai mendoakan agar Amira cepat sembuh.
Ketika dihubungi oleh Gempak, pengurus Fattah, Acha, menjelaskan bahawa Amira dimasukkan ke hospital akibat demam, namun enggan memberikan maklumat lanjut mengenai keadaan penyanyi lagu Hati-Hati itu.






