Skuad futsal Harimau Malaya kini telah memulakan sesi latihan pusat di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebagai persiapan untuk acara Futsal Lelaki di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Nonthaburi, Thailand dari 15 hingga 19 Disember 2025.
Sebanyak 20 pemain telah dipilih oleh ketua jurulatih Rakphol Sainetngam dari Thailand untuk mengikuti kem latihan selama tiga minggu. Skuad ini akan berlepas ke Bangkok pada 6 Disember bagi melakukan persiapan terakhir yang termasuk beberapa perlawanan persahabatan.
Dalam saingan Futsal Lelaki Sukan SEA 2025, lima pasukan akan bertanding menggunakan format liga sepusingan di Stadium Nonthaburi.
Malaysia akan memulakan perlawanan pertama dengan tuan rumah Thailand pada hari Isnin, 15 Disember 2025, diikuti dengan pertemuan menentang Vietnam (16 Disember), Myanmar (17 Disember), dan Indonesia (18 Disember 2025). Pasukan Malaysia tidak akan bermain pada hari terakhir, 19 Disember 2025.
Sebagai makluman, skuad futsal Harimau Malaya pernah memperoleh pingat perak sebanyak dua kali dalam acara Futsal Lelaki, iaitu di Sukan SEA 2007 di Thailand dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2025
Source






