Konstabel polis yang menjadi viral selepas didakwa menampar seorang penunggang motosikal di stesen minyak Taman Perling, Johor Bahru pada hari Ahad lalu, kini dilarang dari terlibat dalam sebarang tugas operasi buat sementara waktu, menurut laporan dari Kosmo Online.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, menjelaskan bahawa langkah ini diambil untuk membolehkan siasatan yang menyeluruh dilakukan terhadap insiden tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada empat individu, termasuk mangsa, anggota polis tersebut dan beberapa saksi yang hadir ketika kejadian.
“Kertas siasatan telah dibuka dan ianya sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kami akan menyiapkan siasatan ini sebelum ia dirujuk ke jabatan perundangan di Bukit Aman dan seterusnya ke Pejabat Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Dalam pada itu, Ab. Rahaman menegaskan bahawa anggota yang terlibat tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugas asalnya tanpa mengikuti prosedur siasatan yang telah ditetapkan.
“Memang benar anggota tersebut bercuti pada waktu itu, tetapi beliau telah dipanggil untuk bertugas menyertai operasi yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), dan namanya tersenarai dalam penugasan,” jelasnya.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, tetapi difahamkan bahawa ketika insiden berlaku, anggota tersebut berusaha menahan motosikal yang ditunggang oleh mangsa yang cuba melarikan diri, dan kemungkinan insiden tamparan berlaku secara spontan,” tambahnya.






