Malam tadi, ketika sedang menyikat rambut di depan cermin, saya terkejut melihat sehelai rambut putih yang berkilau. Tiba-tiba, rasa macam masa terhenti. Eh, adakah aku sudah tua?
Tenang dulu.
Jangan cepat-cepat cabut dulu. Kita perlu tahu mengapa “kilang cat” dalam kepala kita tiba-tiba tutup operasi.
Rambut kita berwarna hitam kerana adanya melanin atau pigmen. Bayangkan ada kilang cat kecil di setiap akar rambut. Apabila kita semakin berusia, kilang ini berfungsi semakin perlahan serta akhirnya tutup. Hasilnya, rambut yang tumbuh akan berwarna putih atau kelabu.
Tetapi, mengapa ada orang yang baru berumur 20-an sudah memiliki uban?
Sebab pertama biasanya adalah faktor genetik. Jika ibu atau bapa anda cepat beruban, kemungkinan anda akan mengalami perkara yang sama. Ini bukan penyakit, tetapi lebih kepada warisan dari keluarga.
Sebab kedua yang ramai tidak sedar adalah stres kronik. Ini bukan stres sekejap kerana terperangkap dalam kesesakan, tetapi stres berpanjangan yang membuatkan tubuh tidak dapat berehat. Stres ini mengganggu sel pigmen hingga sel tersebut “merajuk” dan tidak berfungsi lagi.
Selain itu, merokok dan kekurangan nutrisi seperti Vitamin B12, zat besi, dan asid folik juga boleh menjadi punca. Asap rokok adalah racun yang boleh merosakkan folikel rambut.
Adakah uban awal ini berbahaya?
Secara umum, tidak.
Ia lebih kepada masalah kosmetik. Namun, jika uban muncul dalam jumlah banyak secara tiba-tiba, rambut gugur secara drastic, atau badan cepat letih dan jantung berdebar, itu mungkin tanda masalah tiroid atau anemia.
Uban yang sudah ada tidak mungkin kembali hitam jika disebabkan genetik. Namun, jika puncanya adalah stres atau kekurangan vitamin, ada peluang untuk memperlambat proses dengan menjaga pemakanan dan menguruskan tekanan.
Jadi, tidak perlu panik untuk membeli pelbagai produk untuk menghitamkan rambut secara sembarangan. Kadang-kadang, uban itu adalah peringatan untuk kita mula menjaga diri dan berhenti merokok.
Sehelai dua uban tersebut adalah tanda untuk menghargai kesihatan diri.
Source






