Rakyat Singapura semakin merasai impak kenaikan harga minyak apabila harga petrol di negara tersebut melepasi S$3.30 seliter, satu daripada paras tertinggi dalam beberapa tahun ini.
Laporan dari stesen minyak menunjukkan harga petrol RON95 kini berada dalam lingkungan S$3.35 hingga S$3.40 seliter, manakala RON98 telah meningkat kepada S$3.55 hingga S$3.66 seliter.
Jika konflik di Timur Tengah berterusan, harga petrol premium di Singapura mungkin mencecah S$4 seliter.
Untuk kereta biasa yang memerlukan 50 liter petrol, kos untuk mengisi penuh tangki kini boleh mencapai S$170 (lebih kurang RM 500), jauh lebih tinggi berbanding S$130 hingga S$140 beberapa bulan lalu sebelum kenaikan harga minyak global.
Kenaikan ini disebabkan oleh peningkatan drastik harga minyak mentah dunia akibat ketegangan di Timur Tengah dan kemungkinan gangguan bekalan di laluan penting seperti Selat Hormuz, yang mengendalikan hampir 20% daripada perdagangan minyak global.
Harga minyak Brent yang sebelum ini berada pada paras sekitar US$70–US$80 setong kini telah melonjak ke antara US$100 hingga US$110 setong. Ini sekaligus meningkatkan kos bahan api di negara yang bergantung sepenuhnya kepada import minyak seperti Singapura.
Berbeza dengan Malaysia yang masih meneruskan subsidi petrol, Singapura tidak menawarkan sebarang subsidi bahan api, menyebabkan setiap kenaikan harga minyak global secara langsung mempengaruhi harga runcit petrol.
Setiap kenaikan harga minyak mentah sebanyak US$10 setong berpotensi untuk meningkatkan harga petrol runcit sebanyak 5 hingga 10 sen seliter, memberi tekanan kepada kos pengangkutan dan kehidupan rakyat di negara tersebut.
Source






