Seorang pengguna media sosial yang berbangsa India telah membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kemalangan tragis yang melibatkan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk, mengakibatkan kematian seorang individu.
Dalam satu hantaran di platform Threads, beliau menyatakan rasa kesalnya dan menegaskan bahawa tindakan yang salah tidak seharusnya dipertahankan, walaupun oleh orang yang sama kaum.
“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Kaum India sudahpun dikecam sebelum ini dan kini kami terpaksa menghadapi tindakan cuai seorang lelaki yang memandu sambil mabuk sehingga meragut nyawa seorang suami dan bapa.”
“Saya menyeru semua kaum India agar tidak menyokong atau memutarbelitkan suatu kesalahan. Saya tidak suka membincangkan soal kaum, tetapi situasi ini sangat serius.”
Beliau juga meminta masyarakat supaya tidak melihat isu ini sebagai pertikaian antara kaum atau agama, sebaliknya memberi tumpuan kepada keadilan untuk mangsa.
“Ini bukan waktu untuk berlaku pertikaian tentang agama atau perbezaan kita. Pelaku harus menerima hukuman yang setimpal.”
“Mari kita beri fokus kepada keadilan untuk mangsa. Semoga almarhum tenang di sana. Hentikan kebiasaan memandu di bawah pengaruh alkohol.”
Sebelum ini, seorang lelaki berusia sekitar 20-an telah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kemalangan maut di Klang.
Pemandu Mabuk & Positif Dadah Sebabkan Kematian Penunggang Motosikal Direman 4 Hari
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, mengesahkan bahawa perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Source






