Perbicaraan mengenai kes amang seksual fizikal yang melibatkan penyanyi, Naim Daniel, bermula hari ini di Mahkamah Sesyen dan akan berlangsung selama tiga hari dengan enam orang saksi daripada pihak pendakwaan.
Peguam bela, Mohd. Irwan Sumadi, menyatakan bahawa saksi pertama yang dipanggil adalah ibu kepada mangsa. Katanya, pemeriksaan utama telahpun selesai dan kini sedang berlangsung proses pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
“Hari ini, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi iaitu ibu kepada pengadu dalam kes ini.”
“Tadi (di tengah hari), pemeriksaan utama telah selesai dan kini sedang berlangsung pemeriksaan balas, di mana pihak pembelaan menyoal saksi tersebut.”
“Buat masa ini, jumlah saksi pembelaan belum diputuskan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata Naim dalam keadaan tenang dan tidak tertekan sepanjang prosiding berlangsung.
“Semuanya berjalan seperti yang dirancang. Naim kelihatan baik, ceria dan tenang serta tidak menunjukkan tanda-tanda tertekan sepanjang perbicaraan hari ini.”
“Kes ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari hari ini hingga Khamis, tetapi berdasarkan situasi semasa, ada kemungkinan tarikh perbicaraan akan dilanjutkan,” tambahnya.
Sebelum ini, Naim Daniel, yang juga dikenali sebagai Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Menurut pertuduhan, insiden tersebut didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Mei sekitar pukul 8.56 malam.





