Menurut PMX, Malaysia merupakan negara pemberi pinjaman bersih. Apa maksudnya?
Secara ringkas, aset luar negara yang dimiliki oleh syarikat, bank, institusi kewangan, dan pelabur Malaysia jauh lebih tinggi berbanding jumlah hutang luar negeri yang perlu dibayar.
Sebagai contoh, bayangkan anda mempunyai hutang RM10,000, tetapi pada masa yang sama anda mempunyai simpanan RM15,000. Ini bermakna, walaupun ada hutang, kedudukan kewangan anda masih positif.
Posisi Pelaburan Antarabangsa Bersih (NIIP) Malaysia adalah RM77.3 bilion, yang bersamaan dengan 3.9% daripada KDNK. Ini menunjukkan bahawa kita masih mempunyai lebih banyak aset luar negeri yang dapat bertindak sebagai benteng jika berlaku goncangan ekonomi global.
Salah satu faktor yang memastikan Malaysia kekal sebagai “pemberi pinjam bersih” adalah kerana banyak syarikat dan bank tempatan memiliki aset luar negara dalam jumlah yang besar dalam mata wang USD.
Oleh itu, apabila negara perlu memenuhi komitmen dalam mata wang asing, tidak semestinya perlu mengeluarkan dana dari rizab Bank Negara.
NIIP yang positif ini juga menunjukkan bahawa Malaysia memiliki daya tahan ekonomi yang kuat walaupun jumlah hutang luar negara mencapai RM1.4 trilion, atau 69.4% daripada KDNK.
Tambahan pula, lebih 56.9% daripada hutang luar tersebut adalah dari jangka sederhana dan panjang, memberikan risiko bayar cepat yang rendah.
PMX juga menekankan bahawa hutang luar kerajaan sebenarnya kecil, iaitu kurang daripada 3% daripada keseluruhan hutang luar dalam mata wang asing. Sebahagian besar hutang kerajaan adalah dalam ringgit, yang mengurangkan risiko kejatuhan mata wang.
Bank Negara Malaysia pula mempunyai rizab sebanyak RM521.6 bilion, mencukupi untuk 4.8 bulan import dan 0.9 kali hutang jangka pendek.
Keseluruhan gabungan faktor ini membuktikan bahawa Malaysia berada dalam situasi yang stabil dan terkawal, dan jauh dari status negara yang bergantung kepada pinjaman luar untuk kelangsungan ekonomi.
Source






