FAM KOMITED MENINGKATKAN HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN PUMA
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan jenama sukan global, PUMA, yang merupakan penaja rasmi pakaian untuk skuad Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menyatakan bahawa hubungan yang telah dibina antara kedua-dua pihak akan terus diperkuatkan melalui perancangan jangka panjang yang memberikan manfaat kepada pasukan kebangsaan, penyokong, serta lingkungan bola sepak di Malaysia.
“FAM sangat menghargai dukungan dan kepercayaan yang diberikan oleh PUMA Malaysia. Kerjasama ini bukan sekadar soal penajaan pakaian, tetapi merupakan satu bentuk perkongsian strategik yang meningkatkan aspek profesionalisme, imej, dan komersial bagi bola sepak negara,” ujarnya.
“FAM juga bertekad untuk memperluaskan kerjasama bersama PUMA melalui aktiviti pemasaran kolaboratif, program pembangunan akar umbi, serta inisiatif komuniti bola sepak di seluruh negara,” tambahnya.
Sebelum itu, Datuk Mohd Wira Yusoff telah memimpin delegasi FAM untuk melakukan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat PUMA Malaysia di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, pada Selasa, 28 Oktober 2025.
Delegasi FAM turut disertai oleh Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan dua Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Encik Edwin Tan Chee Hong.
Dalam kunjungan tersebut, mereka menerima taklimat daripada Pengurus Negara PUMA Malaysia, Steven Tan berkenaan operasi global PUMA, strategi pemasaran sukan, serta inisiatif kolaborasi yang dijalankan di peringkat antarabangsa.






