Harga minyak mentah di pasaran global meningkat apabila kontrak niaga hadapan (crude futures) menunjukkan pemulihan positif, terutamanya disebabkan penutupan berterusan Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir 20% perdagangan minyak dunia.
Kontrak niaga hadapan minyak ini merupakan perjanjian kewangan di mana pihak pembeli dan penjual bersetuju untuk membeli atau menjual minyak pada harga yang telah ditentukan untuk masa depan. Hal ini penting kerana harga futures sering kali menjadi indikator utama bagi arah harga minyak keseluruhan.
Sebagai contoh, jika sebuah syarikat penerbangan meramalkan harga minyak akan melonjak dari US$100 kepada US$120 setong dalam masa tiga bulan, mereka boleh mengamankan kos dengan membeli kontrak futures pada harga US$100. Jika ramalan mereka tepat dan harga minyak benar-benar meningkat kepada US$120, syarikat tersebut akan tetap membayar hanya US$100 dan dapat menjimatkan US$20 untuk setiap barel.
Jika pedagang percaya bahawa penutupan Selat Hormuz mengancam bekalan minyak, mereka akan membeli kontrak futures lebih awal, yang seterusnya akan meningkatkan harga futures. Ini memberi isyarat kepada pasaran bahawa harga minyak global mungkin meningkat.
Berdasarkan data terkini, minyak jenis Brent ditutup pada sekitar AS$103.14 setong, peningkatan sekitar AS$2.68 atau 2.67%, manakala West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat kepada AS$98.71 setong.
Kenaikan ini terjadi selepas laporan yang menyatakan sebuah kapal tangki dari India berjaya melintasi Selat Hormuz disahkan tidak tepat, menimbulkan kebimbangan baru mengenai kemungkinan gangguan dalam bekalan energi global.
Pasaran semakin bimbang tentang ketegangan yang berterusan di Timur Tengah yang berpotensi merosakkan infrastruktur minyak utama di kawasan tersebut, mengakibatkan risiko kehilangan bekalan dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Amerika Syarikat dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) merancang untuk mengeluarkan hingga 400 juta tong minyak dari rizab strategik untuk menstabilkan pasaran. Namun, ketegangan belum reda apabila Iran bertegas untuk meneruskan penutupan Selat Hormuz sebagai bentuk tekanan terhadap Washington dan sekutunya.
Goldman Sachs menjangkakan bahawa harga Brent mungkin akan kekal melebihi AS$100 setong dalam tempoh terdekat disebabkan risiko geopolitik yang masih tinggi.
Source






