Grab Malaysia, dengan kerjasama MONSTA dan Astro Shaw, telah menghargai lebih dari 100 wira, termasuk rakan-pemandu dan rakan-penghantar, dengan menayangkan filem terlaris di pawagam, iaitu Papa Zola The Movie.
Selain itu, ahli keluarga rakan-pemandu dan rakan-penghantar juga dijemput untuk menikmati tayangan istimewa ini di Golden Screen Cinema (GSC), One Utama, Petaling Jaya, demi meluangkan waktu yang berharga bersama.
Papa Zola berinteraksi dengan rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab
Sebagai simbolik kerjasama ini, maskot Papa Zola tampil istimewa dengan mengenakan jaket Grab semasa sesi foto dan beramah mesra dengan hadirin.
Rakan-pemandu dan rakan-penghantar hadir dengan uniform Grab, dan acara ini juga menyaksikan pemberian cenderahati eksklusif dari Papa Zola The Movie kepada para tetamu.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan pengorbanan rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab yang selalu menjadi nadi utama dalam perkhidmatan mereka, demi kesejahteraan keluarga.
Menyentuh kisah pengorbanan seorang bapa
Seiring dengan tema Papa Zola The Movie, filem ini mengisahkan pengorbanan Papa Zola, seorang bapa yang penyayang dan bekerja keras sebagai penghantar makanan untuk kebahagiaan keluarganya.
Filem ini menggambarkan emosi dan realiti yang dekat dengan penonton, menjadikan Papa Zola simbol perjuangan yang mewakili rakan-rakan penghantar yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam industri penghantaran.
Meraikan asbab kepada Grab
“Kami di Grab Malaysia berasa bangga untuk meraikan rakan-pemandu dan rakan-penghantar yang merupakan tunjang kepada platform ini.
“Tayangan istimewa ini adalah satu penghormatan terhadap dedikasi dan peranan penting mereka dalam menyara keluarga setiap hari.
“Sejalan dengan mesej dari Papa Zola The Movie, kami berharap inisiatif ini memberi peluang kepada mereka untuk menghabiskan waktu berharga bersama keluarga dan mencipta kenangan yang tak terlupakan,” ujar Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara & Mobiliti di Grab Malaysia.
Grab juga berusaha menyokong industri animasi tempatan dengan menampilkan karakter Papa Zola dalam aplikasi Grab dan pengiklanan luar rumah (DOOH).
Langkah ini turut mengukuhkan lagi jenama dan meraikan komuniti pemandu serta penghantar secara keseluruhan.






