Home Lifestyle Dilema Perut: Kenali Punca dan Penyelesaian Masalah Sendawa dan Kentut

Dilema Perut: Kenali Punca dan Penyelesaian Masalah Sendawa dan Kentut

6
0


Siapa di antara kalian yang setiap hari mengeluh tentang perut sebu, kerap sendawa, dan kentut tak berhenti, malah perut kembung sampai rasa seperti belon selepas makan?

Apabila berjumpa kawan, ayat biasa yang keluar adalah: “Ala, ini semua sebab perut masuk angin.” Kemudian sapu minyak angin dan telan ubat gastrik. Tapi keesokannya… masalah itu kembali lagi.

Hentikanlah daripada hanya menyalahkan ‘angin’. Perut kamu mungkin tidak mengalami gastrik biasa, tetapi sebenarnya mengalami keadaan klinikal yang dikenali sebagai SIBO (Small Intestinal Bacterial Overgrowth)!

Apa itu SIBO?

Secara ringkas: BAKTERIA SESAT.
Bakteria ini sepatutnya berada di usus besar, tetapi dalam keadaan SIBO, jutaan bakteria ini berpindah dan membiak di usus kecil kamu!

Fungsi utama usus kecil adalah untuk menyerap nutrien. Namun, apabila bakteria ini menjadikan usus kecil sebagai ‘rumah’, mereka akan berkompetisi untuk mendapatkan makanan sebelum tubuh kamu dapat menyerapnya.

Bakteria ini menghasilkan gas metana dan hidrogen yang banyak, menyebabkan perut kamu terasa kembung dan kadang-kadang sesak nafas.

Bagaimana cara membezakan gastrik biasa dari SIBO?

❌ Kembung teruk hampir setiap hari, terutama selepas makan.

❌ Sudah tukar diet, telan ubat gastrik (seperti Gaviscon atau Pantoprazole) tetapi tiada perubahan.

❌ Sering mengalami cirit-birit atau sembelit yang teruk.

❌ Rasa letih yang berterusan, rambut gugur, dan penurunan berat badan (kerana bakteria curi vitamin B12 dan nutrien kamu).

Apa yang menyebabkan bakteria ini ‘sesat’ ke atas?

1️⃣ Pengambilan ubat penurun asid perut (gastrik) untuk tempoh yang lama. (Asid perut berfungsi membunuh bakteria; kurang asid membolehkan bakteria berkembang biak).

2️⃣ Pergerakan usus yang lambat (contohnya bagi pesakit kencing manis yang saraf ususnya terjejas).

3️⃣ Masalah tiroid, IBS, atau sejarah pembedahan perut.

Jika kamu mengalami simptom SIBO, segeralah berjumpa doktor. Doktor boleh melakukan ‘Breath Test’ untuk mengukur tahap gas dalam perut. Rawatannya bukan dengan ubat gastrik biasa, tetapi memerlukan antibiotik tertentu untuk mengatasi pertumbuhan bakteria dan pelan pemakanan yang baru.

Perut kamu bukan tiub tayar basikal, jadi jangan terus hidup dengan kembung dan ‘angin’ setiap hari. Dengarkan isyarat badan kamu dan ambil tindakan!


Source

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here