Amaran Mengenai Kopi Pra-Campuran yang Menawarkan ‘Tenaga Hebat’
Penggunaan kopi pra-campuran yang kononnya dapat meningkatkan tenaga batin atau prestasi seksual lelaki kini semakin merisaukan.
Banyak pengguna terpedaya dengan label “100% Herba” atau “Makanan Tambahan”, walhal kesan cepat yang dirasai selepas peminuman tersebut sering kali tidak datang dari herba, tetapi akibat pencemaran bahan Racun Berjadual (seperti Sildenafil atau Tadalafil).
Sildenafil dan Tadalafil adalah ubat yang dikawal dan hanya boleh digunakan di bawah pemantauan doktor.
Apabila kedua-dua bahan ini dicampurkan ke dalam serbuk kopi tanpa pengukuran yang betul, ia boleh menyebabkan:
-
Tekanan darah menurun secara tiba-tiba.
-
Serangan jantung disebabkan oleh degupan jantung yang cepat (Tachycardia).
-
Strok akibat masalah di saluran darah otak.
-
Kematian secara tiba-tiba.
Kopi dikategorikan sebagai MAKANAN. Mengikut Akta Makanan, produk makanan dilarang melakukan sebarang tuntutan perubatan (seperti merawat mati pucuk, melancarkan peredaran darah, atau meningkatkan tenaga seksual).
Jika kopi itu menjanjikan kesan sebagai ‘ubat kuat’, besar kemungkinan ia adalah produk tidak berdaftar yang telah dicemari.
Jangan korbankan nyawa anda demi janji-janji dalam iklan yang berlebihan. Jaga kesihatan jantung anda.






