Usahawan popular, Aliff Syukri menyatakan rasa kecewa setelah mengetahui dirinya disaman oleh bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Aliff mengakui menghormati Abdul Kadir dan tidak menjangkakan bahawa sepanjang usaha beliau mencari rezeki yang halal, beliau akan berhadapan dengan tindakan saman.
“Saya terkejut dengan kejadian ini kerana selama ini saya berusaha mencari rezeki yang halal, tetapi ini balasan yang saya terima,”
“Saya sangat mengagumi dan menghormati Abdul Kadir sebagai seorang yang lebih tua serta mantan ahli politik,” ujarnya kepada Gempak.
Namun, Aliff menegaskan bahawa beliau tidak akan terpengaruh dengan tindakan saman tersebut dan akan terus mempertahankan diri serta berjuang menuntut hutang yang kononnya melibatkan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu.
“Walau bagaimanapun, jika ini adalah takdir yang perlu saya lalui, saya akan terus berjuang. Berani kerana benar, dan saya reda,” tambahnya.
Sebelum ini, Abdul Kadir menyatakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau mendakwa telah difitnah oleh Aliff Syukri Kamaruzaman yang menggambarkannya sebagai samseng Hollywood, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’.






