Perkembangan pesat dalam pekerjaan jarak jauh (remote work) telah menyediakan peluang besar bagi syarikat-syarikat global untuk menjaringkan bakat daripada pelbagai pelusuk dunia. Namun, kemudahan ini juga membawa bersama cabaran keselamatan baru yang semakin sukar untuk diurus.
Baru-baru ini, sebuah video sesi temu duga kerja telah menarik perhatian di media sosial apabila menunjukkan pendekatan unik sebuah syarikat teknologi dari Amerika Syarikat untuk menapis calon yang mungkin menyamar.
Dalam video tersebut, penemu duga meminta calon untuk merendahkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan gelaran:
“B*bi yang gemuk dan hodoh” (fat, ugly pig)
Permintaan tersebut bukan sekadar untuk menghina, tetapi sebagai ujian psikologi untuk mengesahkan sama ada calon itu benar-benar bukan rakyat Korea Utara.
Reaksi calon tersebut menimbulkan persoalan, apabila dia kelihatan sangat tidak nyaman, mulai tergagap, dan berpura-pura tidak memahami soalan yang ditanya. Tidak lama selepas itu, skrin videonya tampak “terbeku” sebelum dia secara tiba-tiba meninggalkan sesi temu duga tersebut.






