Tiga kapal asing lagi dilaporkan diserang berhampiran kawasan strategik Selat Hormuz, menurut sumber pihak berkuasa maritim.
Insiden terbaharu ini muncul selepas beberapa kapal lain mengalami kerosakan akibat serangan berasingan sebelum ini, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan tenaga yang amat penting di dunia.
Sebuah kapal kontena dikatakan terkena projektil dekat Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu yang menyebabkan kebakaran kecil, sementara dua kapal tangki minyak terbakar di sekitar pelabuhan Umm Qasr di Iraq.
Kejadian ini berlaku pada waktu ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel, dan Iran semakin tinggi selepas serangan udara yang dilancarkan pada 28 Februari.
Iran dilaporkan mengambil tindakan dengan menyasarkan kapal-kapal yang melintasi Selat Hormuz, laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman.
Laluan ini penting bagi ekonomi global kerana lebih kurang 20 peratus daripada bekalan minyak dan gas dunia melalui kawasan tersebut setiap hari.
Pada masa yang sama, Iran memberi amaran bahwa jika ketegangan berlanjutan, harga minyak dunia boleh naik hingga AS$200 setong, dengan kestabilan harga minyak bergantung kepada keselamatan rantau tersebut.
Dalam perkembangan yang berkaitan, harga minyak Brent dilaporkan melonjak dengan kontrak hadapan meningkat sekitar 8 peratus kepada hampir AS$100 setong, mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan negatif kepada ekonomi global sekiranya konflik diteruskan.
Source






